comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Nilai Ringgit terus susut berbanding Dolar AS pagi ini

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Ringgit terus menyusut nilai berbanding dolar AS pada pagi urus niaga Khamis apabila dolar AS kembali kukuh dengan jangkaan lebih banyak kenaikan kadar faedah Rizab Persekutuan (Fed), kata seorang penganalisis.

Pada 9 pagi, mata wang tempatan susut kepada 4.5420/5505 berbanding dolar AS daripada penutupan hari Rabu pada 4.5400/5485.

Peniaga ActivTrades Dyogenes Rodrigues Diniz berkata selepas jatuh 0.75 peratus berbanding ringgit, dolar AS melantun semula dan kini didagangkan dalam zon positif.

“Kenaikan nilai dolar adalah susulan pengeluaran data jualan runcit teras AS untuk bulan Oktober yang lebih tinggi daripada jangkaan pada 1.3 peratus berbanding unjuran 0.4 peratus.

“Jualan runcit teras mengukur perubahan dalam jumlah nilai jualan pada peringkat runcit tidak termasuk kereta dan ia merupakan penunjuk penting perbelanjaan pengguna, yang juga dianggap sebagai termometer kesihatan ekonomi AS,” katanya.

Menurut Diniz, sebagai salah satu langkah paling berkesan untuk mengawal inflasi ialah dasar monetari yang lebih ketat dan ini mendorong Rizab Persekutuan untuk memikirkan langkah yang lebih ketat seperti kenaikan kadar faedah seterusnya yang secara amnya memberi manfaat kepada mata wang AS.

Sementara itu, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ringgit menambah nilai berbanding dolar Singapura kepada 3.3148/3213 daripada 3.3185/3252 pada penutup Rabu dan mengukuh berbanding euro kepada 4.7178/7266 daripada 4.7311/7400 semalam.

Bagaimanapun, mata wang tempatan susut berbanding yen Jepun kepada 3.2568/2634 daripada 3.2561/2624 pada Rabu dan lemah berbanding pound Britain kepada 5.4077/4178 daripada 5.4017/4118 sebelum ini. – BERNAMA

Loading...
Terkini