comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Nilai ringgit terus susut berbanding dolar AS pagi ini 

Foto hiasan.

KUALA LUMPUR: Nilai ringgit dibuka rendah pagi ini berbanding dolar AS untuk hari kelima berturut-turut apabila pelabur memberi perhatian yang teliti terhadap keputusan Rizab Persekutuan (Fed) AS lewat hari ini, kata peniaga.

Pada 9 pagi, mata wang tempatan menyusut nilai menjadi 4.7420/7450 berbanding dolar AS daripada penutupan Selasa pada 4.7345/7375.

Peniaga ActivTrades Dyogenes Rodrigues Diniz berkata dolar AS sekali lagi meningkat berbanding ringgit menjelang keputusan kadar faedah AS pada hari Rabu.

“Rizab Persekutuan dijangka menaikkan kadar faedah sebanyak 0.75 peratus. Sekiranya kenaikan itu menjadi kenyataan, ia merupakan kenaikan keempat berturut-turut pada kadar peratusan berkenaan. Kenaikan yang sejajar dengan jangkaan mungkin menyaksikan nilai dolar jatuh pada mulanya, kerana pasaran telah pun mengambil kira kenaikan ini.

“Justeru, pelabur akan memberi perhatian kepada kenyataan Rizab Persekutuan pada sidang media selepas pengumuman keputusan itu, yang akan menetapkan hala tuju untuk langkah dasar monetari masa depan,” katanya.

Selain itu, beliau berkata pelabur juga perlu menghalakan tumpuan kepada keputusan kadar faedah Malaysia yang akan dikeluarkan pada Khamis.

Bank Negara Malaysia diunjur menaikkan Kadar Dasar Semalaman daripada 2.5 peratus kepada 2.75 peratus, peningkatan yang jauh lebih kecil daripada yang dijangkakan di Amerika Syarikat.

Sementara itu, ringgit diniagakan kebanyakannya lebih tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama, kecuali yen Jepun.

Mata wang tempatan menambah nilai berbanding euro kepada 4.6879/6909 daripada 4.7033/7062 pada penutup Selasa, meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.3536/3562 daripada 3.3571/3595, dan lebih tinggi berbanding pound Britain kepada 5.4547/4582 daripada 5.4608/4642.

Bagaimanapun, ringgit menyusut nilai berbanding yen Jepun pada 3.2202/2224 daripada 3.2107/2130 semalam. – BERNAMA

Loading...
Terkini