comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Nilai transaksi hartanah tertinggi dalam sejarah, cecah RM196.8 bilion pada 2023

Oleh Afrina Romzi

KAJANG: Nilai transaksi hartanah Malaysia mencatat rekod baharu sebanyak RM196.83 bilion pada 2023, meningkat 9.9 peratus berbanding tahun lalu dengan nilai RM179.07 bilion.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata manakala bilangan transaksi hartanah juga mencatat pertumbuhan positif sebanyak 2.5 peratus kepada 399,008 pada tahun 2023, berbanding 389,107 tahun lalu.

“Momentum pasaran hartanah tahun ini akan terus disokong melalui langkah Belanjawan 2024 berkaitan rumah mampu milik dan pembiayaan rumah pertama ke arah menjana prestasi ekonomi yang lebih kukuh,” katanya pada majlis Pelancaran Laporan Pasaran Harta 2023 oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) hari ini.

Laporan JPPH mendedahkan, trend pertumbuhan positif ini didorong oleh peningkatan nilai transaksi di semua subsektor iaitu kediaman (7.1 peratus), komersial (17.5 peratus), perindustrian (13.1 peratus), pertanian (4.6 peratus) dan tanah pembangunan dan lain-lain (13.8 peratus) berbanding tahun 2022.

Prestasi yang lebih rancak turut direkodkan bagi pelancaran baharu kediaman iaitu meningkat 4.4 peratus kepada 56,526 unit (2022: 54,118 unit) dengan prestasi jualan yang lebih baik sebanyak 40.4 peratus (2022: 36.0%).

Manakala bilangan kediaman siap dibina yang tidak terjual menyusut tujuh peratus kepada 25,816 unit bernilai RM17.68 bilion pada 2023.

Dalam pada itu, Indeks Harga Rumah Malaysia (IHRM) berada pada 216.5 mata (RM467,144 seunit) pada 2023 dengan pertumbuhan tahunan sederhana 3.2 peratus.

Semua negeri utama mencatatkan pertumbuhan tahunan yang positif, didahului oleh Johor (6.2 peratus), Pulau Pinang (3.8 peratus), Selangor (2.9 peratus) dan Kuala Lumpur (1.8 peratus).

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini