comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Oman, Malaysia nikmati hubungan yang rapat – duta 

KUALA LUMPUR: Sejak bermulanya hubungan diplomatik pada 1982, Oman dan Malaysia telah menikmati dan mengekalkan hubungan yang rapat, kata Duta Oman ke Malaysia Sheikh Al-Abbas Ibrahim Hamed Al Harthi.

Al-Abbas berkata pada masa ini dua perjanjian sedang diusahakan iaitu pengelakan cukai berganda membabitkan cukai ke atas pendapatan serta promosi dan perlindungan timbal balik pelaburan.

Selain itu, beliau berkata banyak Memorandum Persefahaman (MoU) dalam bidang kesihatan, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta pendidikan tinggi, perlu ditandatangani.

Beliau berkata Oman juga menyambut baik dan menggalakkan pelabur dan usahawan Malaysia meneroka potensi dan peluang pelaburan di negara Teluk itu.

“Juga setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada kerajaan Malaysia atas bantuan berterusan dalam memperkukuh pembangunan kerjasama Oman-Malaysia dalam pelbagai bidang,” katanya dalam kenyataan kepada Bernama sempena Hari Kebangsaan ke-52 Oman hari ini.

Al-Abbas berkata Oman yakin menerusi kestabilan politik negara, pemilikan asing yang liberal dalam syarikat, perdagangan bebas dan dasar pasaran terbuka, infrastruktur moden, multimedia dan telekomunikasi yang canggih, sudah pasti akan membuka pintu untuk membina jambatan persahabatan yang akan membuka prospek kerjasama baharu dan hubungan baik dengan negara-negara lain.

Beliau berkata 12 kategori kepentingan nasional yang diklasifikasikan oleh Wawasan 2040 merangkumi spektrum penuh kehidupan Oman dengan keutamaan kepada penggubalan strategi yang mantap dan teratur telah memudahkan pewujudan pekerjaan, menggalakkan pelaburan dan mempercepat pertumbuhan korporat.

“Wawasan 2040 juga merupakan pelan tindakan kerajaan untuk melindungi alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) bagi menyegerakan sumbangan relatif sektor bukan minyak kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan pada masa yang sama mengurangkan pergantungan Oman kepada minyak dan gas tradisional selain untuk terus menggalakkan dan meningkatkan sektor ekonomi yang lain, termasuk PKS, tenaga hijau, perkhidmatan logistik, pelancongan dan pertanian.

Menerusi usaha mempromosi aspek alam semula jadi, budaya dan warisan, kerajaan Oman juga berharap dapat menarik sekurang-kurangnya 11.7 juta pelancong domestik dan asing selain meningkatkan bahagian bukan minyak daripada KDNK keseluruhan kepada 90 peratus menjelang 2040. – BERNAMA

Loading...
Terkini