comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Opcom beli 49 peratus kepentingan TVSB dengan nilai RM98 juta

Opcom Holdings Bhd

KUALA LUMPUR: Opcom Holdings Bhd menandatangani perjanjian penjualan saham dengan vendor Datin Sri Saraswathy Manikum untuk membeli 5.39 juta saham biasa dalam Transgrid Ventures Sdn Bhd (TVSB) dengan harga RM98 juta yang dibayar dalam bentuk saham dan tunai.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, Opcom berkata cadangan pengambilalihan itu membabitkan 49 peratus kepentingan dalam TVSB dan ia berhasrat untuk mempelbagaikan aktiviti perniagaannya termasuk penjanaan dan penghantaran kuasa, serta perniagaan berkaitan kuasa.

Opcom dan anak syarikatnya terlibat terutamanya dalam pembuatan kabel gentian optik dan produk berkaitan kabel serta penyelesaian infrastruktur rangkaian telekomunikasi pada masa ini, kata makluman itu.

TVSB dan anak syarikatnya pula terbabit dalam bidang kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) penghantaran kuasa dan perniagaan berkaitan kuasa.

Kumpulan Transgrid akan menjadi syarikat bersekutu Opcom berikutan cadangan pengambilalihan itu, dan perniagaan penjanaan dan penghantaran kuasa akan menjadi sebahagian daripada aktiviti kumpulan Opcom yang diperbesarkan.

Ini termasuk EPCC, infrastruktur pengedaran pencawang, pengurusan projek, perundingan kejuruteraan penghantaran kuasa, dan perdagangan produk berkaitan biojisim.

Lembaga Pengarah Opcom berkata, pasaran infrastruktur kuasa mempunyai ‘prospek pertumbuhan yang baik, memandangkan prospeknya yang menggalakkan’ dan cadangan pengambilalihan itu adalah ‘peluang yang baik’ bagi phaknya memanfaatkan pasaran infrastruktur kuasa yang semakin berkembang.

Tanpa mengambil kira keadaan yang tidak dijangka dan tertakluk kepada kelulusan, cadangan itu dijangka dimuktamadkan pada suku keempat 2023.

Pada rehat tengah hari, saham Opcom susut 0.63 peratus kepada 79 sen dengan 490,600 saham diurus niaga.

BERNAMA

Loading...
Terkini