comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

OPR dijangka kekal 3.0 peratus hingga akhir tahun hadapan

Foto: NSTP

KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia dijangka mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) pada 3.00 peratus sehingga akhir tahun hadapan. Ini memandangkan harga barang dan perkhidmatan yang agak stabil serta prospek pertumbuhan ekonomi yang positif, demikian mengikut Kenanga Research.

Bahagian penyelidikan Kenanga Investment Bank itu dalam nota penyelidikannya berkata, bank pusat itu dijangka memantau kesan daripada rasionalisasi subsidi dan kenaikan gaji penjawat awam, yang berkemungkinan dilaksanakan pada suku keempat tahun ini.

” Indeks harga pengguna (IHP) untuk keseluruhan tahun ini dijangka kekal pada 2.7 peratus berbanding 2.5 peratus pada tahun lalu dengan mengambil kira kemungkinan rasionalisasi bahan api RON95 pada suku keempat tahun ini.

“Walaupun kami kekal berhati-hati terhadap risiko luaran yang boleh meningkatkan inflasi, seperti keadaan cuaca yang ekstrem, isu geopolitik, dan kenaikan kos komoditi, namun inflasi di Malaysia dijangka kekal terkawal.

Sementara itu, tambahnya, kenaikan yang ketara dijangka hanya apabila rasionalisasi subsidi RON95 diumumkan, yang berpotensi mendorong inflasi utama kepada purata hampir 5.0 peratus pada suku keempat tahun ini.

Sementara itu, MIDF Research pula berkata, kadar inflasi utama mencapai paras tertinggi dalam tempoh sembilan bulan pada Mei dengan IHP meningkat kepada 2.0 peratus, tertinggi sejak September 2023 dan sedikit melebihi anggaran pasaran iaitu 1.9 peratus.

“Peningkatan kadar inflasi bukan makanan adalah faktor utama peningkatan ini, meningkat sebanyak 2.0 peratus tahun ke tahun, iaitu kadar terpantas dalam tempoh 15 bulan.

“Kami mendapati inflasi bukan makanan antara lain disebabkan oleh inflasi kos utiliti dan pemulihan sektor ICT,” katanya,Susulan itu, ia menjangkakan berlaku peningkatan beransur-ansur di Semenanjung Malaysia pada separuh kedua tahun ini.

“Kesan langsung dan tidak langsung daripada subsidi bersasar ini akan dapat dilihat mulai bulan ini. Kami meramalkan kadar inflasi utama purata 2.7% untuk keseluruhan tahun ini,” katanya.M

IDF Research menjangka kerajaan mungkin memerlukan lebih banyak masa untuk menguruskan pengagihan subsidi dan mekanisme harga bahan api terutamanya untuk RON95.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini