comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

OPR dijangka kekal 3% tahun ini, sejajar pertumbuhan ekonomi — Pakar ekonomi

Bank Negara Malaysia (BNM)

Oleh Afrina Romzi

PETALING JAYA: Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) pada 3% sepanjang tahun ini, selepas kenaikan 25 mata asas baru-baru ini.

Ketua Ahli Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata kadar OPR itu dilihat telah mencapai tahap normal, sejajar sasaran pertumbuhan ekonomi untuk mencapai 4% hingga 5% tahun ini.

“Paras 3% ini telahpun dikira mencapai satu tahap yang normal kerana kalau kita lihat dari sudut faktor lalu pada 2011 hingga 2019, ketika itu ekonomi negara mencatat pertumbuhan sekitar 4% hingga 6% dan OPR ketika itu tersebut bergerak pada sekitar 3% hingga 3.25%,” katanya kepada BuletinTV3.

Jelas beliau, dasar monetari perlu disesuaikan dengan kedudukan ekonomi yang telah mencapai pertumbuhan yang baik terutamanya pasaran buruh yang dijangka mencatat guna tenaga penuh dengan lebih banyak peluang pekerjaan.

Kadar pengangguran juga telah menurun kepada 3.5% pada Mac, menunjukkan lebih ramai rakyat Malaysia telah menerima pendapatan.

Ini membolehkan mereka untuk berbelanja, sekaligus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Loading...
Terkini