comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

OPR Dijangka Naik Sehingga 3.50 Peratus

KUALA LUMPUR: HSBC Global Research menjangkakan Bank Negara Malaysia (BNM) menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sehingga 3.50 peratus memandangkan bank pusat itu terus mengetatkan dasar monetari.

Ia turut menjangkakan kenaikan 25 mata asas (bps) lagi akan diputuskan semasa mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) BNM pada November 2022 dan sekali gus menjadikan OPR sebanyak 2.75 peratus menjelang akhir 2022.

“Kami juga mengunjurkan tiga lagi kenaikan kadar pada separuh pertama 2023, setiap satunya sebanyak 25 mata asas, menjadikan OPR mencecah paras tertinggi dalam sejarahnya sebanyak 3.50 peratus,” menurutnya.

Menerusi laporan penyelidikan Asian Economics Quarterly, HSBC Global Research menjelaskan BNM telah mencapai keadaan seimbang dalam penilaian ekonominya, dengan pandangan optimis mengenai kadar pemulihan namun mengambil pendekatan berhati-hati terhadap peningkatan inflasi.

Semasa akhir mesyuarat pada 8 September 2022, MPC BNM menaikkan OPR sebanyak 25 mata asas kepada 2.5 peratus.

Ia kenaikan kadar ketiga berturut-turut BNM, menjadikan kenaikan OPR keseluruhan sebanyak 75 mata asas setakat tahun ini daripada paras terendah dalam sejarah sebanyak 1.75 peratus.

Mengenai ekonomi, ia menambah, enjin pertumbuhan domestik Malaysia semakin kukuh dan lebih berhasil, memandangkan ekonomi kembali normal dan pasaran buruh terus hampir mencapai guna tenaga penuh atau keseimbangan antara permintaan dan penawaran.

Walau bagaimanapun, HSBC Global Research mengingatkan bahawa apabila cabaran perdagangan mengancam dan dorongan domestik semakin reda, pada masa sama pemulihan domestik akan membawa kepada pertumbuhan pada 2022, ekonomi ini berkemungkinan menjadi sederhana menjelang 2023.

“Justeru, kami menyemak naik pertumbuhan Malaysia kepada 7.6 peratus (sebelum ini 6.6 peratus) bagi 2022 namun menyemak turun pertumbuhan 2023 kepada 4.0 peratus (sebelum ini 4.3 peratus).

“Walaupun inflasi Malaysia masih tidak buruk seperti di negara lain, momentum inflasi bagaimanapun mula meningkat,” katanya. -BERNAMA

Loading...
Terkini