comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

OPR mungkin kekal 3% setahun lagi

Bank Negara Malaysia (BNM)

KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka mengekalkan ‘status quo’ terhadap Kadar Dasar Semalaman (OPR) bagi enam hingga 12 bulan akan datang di tengah-tengah peningkatan ketidaktentuan ekonomi global dan kadar inflasi domestik yang semakin perlahan, demikian menurut Kenanga Research.

“Kami percaya bahawa BNM telah menyelesaikan kitaran normalisasi dasar dan akan memilih untuk mengekalkan OPR pada 3.0 peratus dalam jangka terdekat memandangkan penyederhaan berterusan faktor kos akan membolehkan kadar inflasi utama dan teras kedua-duanya lebih rendah dalam bulan-bulan akan datang.

“BNM berkemungkinan akan mengekalkan pendekatan bergantung kepada data dalam proses membuat keputusan dan memantau trend inflasi teras, perubahan kepada dasar domestik ke atas subsidi dan kawalan harga selain harga komoditi global dan perkembangan dalam pasaran kewangan,” katanya dalam satu nota pendapat ekonomi yang diterbitkan hari ini.

Mengenai tinjauan ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), Kenanga Research mengunjurkan mata wang tempatan akan berada di paras RM4.29 menjelang akhir tahun ini.

“Di sebalik sentimen risiko pasaran dan kelemahan tinjauan ekonomi China yang berterusan, kami mengekalkan pandangan yang agak baik terhadap unjuran bagi ringgit dalam tiga hingga enam bulan akan datang.

“Kami menjangkakan ringgit berpotensi mendapat manfaat daripada unjuran pemulihan ekonomi China di tengah-tengah meningkatnya kemungkinan pakej rangsangan fiskal dan monetari (di China)

“Selain itu, kami menjangkakan Indeks Dolar AS (DXY) akan menjadi lemah disebabkan kemungkinan kecenderungan Rizab Persekutuan (Fed) untuk menyokong pertumbuhan, disebabkan oleh kelembapan dalam pertumbuhan ekonomi AS,” katanya.

Sementara itu, Kenanga Research berkata rizab mata wang asing jatuh di bawah paras AS$100 bilion buat kali pertama sejak November 2022, mencerminkan campur tangan BNM dalam pasaran pertukaran asing selain kerugian daripada penilaian semula tukaran mata wang asing suku tahunan, disebabkan oleh kenaikan 0.4 peratus DXY.

Penurunan itu, katanya menyebabkan rizab antarabangsa BNM kekal dalam trend penurunan selama tiga bulan berturut-turut, apabila susut sebanyak AS$1.3 bilion atau 1.1 peratus ke paras terendah dalam tempoh tujuh bulan pada AS$111.4 bilion setakat 30 Jun 2023.

“Rizab memadai untuk membiayai lima bulan import barangan dan perkhidmatan dan satu kali hutang luar jangka pendek,” katanya.

Loading...
Terkini