KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) memperkenalkan Panduan Maqasid Al-Syariah Pasaran Modal Islam Malaysia bagi membangun dan menggalakkan lagi industri itu terus kukuh dan berdaya tahan.
Panduan itu menggariskan prinsip universal bagi meningkatkan kelebihan daya saing pasaran modal Islam (ICM) dan mengukuhkan impak dan sumbangan ICM kepada masyarakat dan ekonomi benar.
Dengan mematuhi piawaian etika tertinggi berdasarkan prinsip teras Syariah, inisiatif itu dijangka dapat mengekalkan kepercayaan dan keyakinan pihak berkepentingan utama.
Ia selaras dengan Pelan Induk Pasaran Modal 3 (CMP3) SC, yang bertujuan mengiktiraf Malaysia sebagai peneraju global dalam ICM dan meningkatkan kedudukan Malaysia sebagai pusat serantau bagi Pelaburan Mampan dan Bertanggungjawab (SRI) patuh Syariah.
Mengulas pelancaran panduan itu, Ahmad berharap panduan yang mempunyai 15 prinsip dan enam tonggak itu akan menjadi panduan rasmi sektor perbankan dan pasaran modal.
Beliau berkata, panduan yang unik itu memastikan prinsip maqasid membabitkan nyawa, agama, harta dan keturunan semuanya itu terkandung dengan baiknya dalam panduan disediakan.
“Kita berharap agar ia (panduan) dapat beri jaminan lebih padu untuk rakyat dan syarikat terbabit dalam pasaran modal dan sektor sistem perbankan silam,” katanya.
Sementara itu, Datuk Seri Awang Adek berkata, dokumen berasaskan prinsip itu tidak bertujuan untuk menggantikan keperluan Syariah sedia ada, sebaliknya ia adalah untuk melengkapkan undang-undang dan peraturan SC yang sedia ada.
Beliau berkata, pembangunan panduan itu menjangkau 18 bulan dan ia membabitkan analisis mendalam kesusasteraan moden dan klasik.
Panduan itu dirangka selaras dengan enam aspirasi menyeluruh yang sesuai dalam konteks ICM, terdiri daripada Kemanusiaan; Keadilan dan Ihsan; Kejelasan dan Ketelusan; Fleksibiliti dan Inovasi; Fidusiari dan Akauntabiliti dan Kebolehcapaian dan Keterangkuman.