comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Pasaran hartanah dijangka stabil tahun ini – Kor Ming

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming

KUALA LUMPUR: Pasaran hartanah Malaysia dijangka kekal stabil pada 2024 dan mencatatkan pertumbuhan yang berterusan dalam tempoh tiga tahun akan datang hasil daripada rangsangan pelbagai inisiatif oleh Kerajaan MADANI di bawah Belanjawan 2024, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming.

Beliau berkata pasaran hartanah menunjukkan pertumbuhan ketara dan berdaya tahan dengan kaunter hartanah individu mencatatkan pertumbuhan harga saham sehingga 600 peratus.

Menurutnya, kaunter hartanah di pasaran saham berada dalam aliran meningkat dari Januari 2023 hingga Jun 2024, dengan 76 daripada 100 kaunter hartanah di Bursa Malaysia mencatatkan kenaikan harga saham.

“(Sementara itu) 22 kaunter menunjukkan penurunan harga saham, (dan) dua kaunter mengekalkan harga saham mereka meskipun mencatatkan prestasi turun naik,” kata Kor Ming dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata dalam kalangan kaunter utama DPS Resources Bhd mencatatkan pertumbuhan harga saham 600 peratus, UEM Sunrise Bhd naik 347 peratus dan WMG Holdings Bhd meningkat 326 peratus dari Januari 2023 hingga Jun 2024.

“Trajektori positif dijangka berterusan sehingga ke separuh kedua 2024.

“Saya percaya di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, pasaran hartanah kita akan mempunyai masa depan yang cerah pada tahun-tahun mendatang.

“Kita perlu berganding bahu untuk meningkatkan reputasi industri kita dan meningkatkan keyakinan pelabur untuk menjadikan pasaran hartanah malahan lebih berdaya tahan,” katanya.

Menurut kenyataan itu, urus niaga pasaran hartanah Malaysia bernilai RM42.31 bilion, dengan lebih 89,000 urus niaga direkodkan dalam suku pertama 2023 (S1 2023).

Manakala pada Suku Pertama 2024, urus niaga pasaran hartanah mencecah RM56.53 bilion, dengan lebih daripada 104,000 urus niaga, menandakan peningkatan sebanyak RM14.22 bilion dari segi nilai.

“Pertumbuhan ketara ini menunjukkan pasaran hartanah Malaysia semakin pulih dan kembali meningkat,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini