comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Pasaran LEAP bakal diperkukuh, SC sasar dana pasaran modal PMKS, MTC RM40 bilion 

Oleh : Afrina Romzi

KUALA LUMPUR: Kementerian Kewangan meminta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) untuk memperkemas Pasaran LEAP di Bursa Malaysia, menjelang awal tahun depan bagi menangani isu akses pembiayaan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dan syarikat peringkat pertengahan (MTC).

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan menegaskan pengawal selia pasaran modal perlu mengkaji untuk memperluas kumpulan penasihat penyenaraian bagi menyertakan profesional seperti firma perakaunan dan guaman.

“Dua cabaran utama yang dihadapi PKMS dan MTC dalam meneruskan penyenaraian pasaran awam ialah pertama, kos pengumpulan dana yang tinggi dan kedua, kekurangan haluan yang jelas untuk mengakses pasaran awam dan seterusnya beralih kepada peringkat lebih tinggi.

“Oleh itu, saya teruja kerana terdapat strategi dan inisiatif khusus dalam Pelan Hala Tuju untuk menggiatkan semula Pasaran LEAP sebagai platform yang berpotensi untuk pengumpulan dana PKS,” katanya pada majlis pelancaran Pelan Hala Tuju 5 Tahun (2024-2028), Memangkin Akses PMKS dan MTC kepada Pasaran Modal hari ini.

Teks ucapan Datuk Seri Amir dibaca Ketua Setiausaha Perbendaharaan Datuk Johan Mahmood Merican.

Dalam perkembangan sama, Pengerusi SC, Datuk Seri Awang Adek Hussin berkata menerusi pelan hala tuju itu, pihaknya mensasar untuk mengembangkan pengumpulan dana dalam pasaran modal PMKS dan MTC sehingga RM40 bilion menjelang 2028.

Ia merangkumi tindakan terperinci yang perlu diambil dalam jangka masa pendek, sederhana dan panjang, untuk meningkatkan akses kepada penerbit kecil dan sederhana, serta menarik pelabur untuk melabur dalam syarikat ini, sebagai kelas aset.

“Kini purata (dana) sekitar RM6 bilion, RM7 bilion setahun. Jadi dalam masa lima tahun sewajarnya dapat meningkat kepada RM40 bilion dan sasaran utama adalah untuk mendapatkan PKMS dan MTC meraih 20 peratus daripada pembiayaan mereka daripada pasaran modal,” katanya apabila ditemui media selepas majlis pelancaran.

Tahun lalu, PMKS dan MTC telah meraih RM6.3 bilion melalui pasaran modal.

Dalam majlis yang sama, SME Corporation Malaysia (SME Corp) mensasar enam PMKS disenaraikan di Bursa Malaysia menjelang 2026.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Rizal Nainy berkata perkara itu susulan perjanjian memorandum persefahaman (MoU) bersama SC untuk memudahkan akses lebih besar kepada pembiayaan pasaran modal untuk PMKS.

“Kami bekerjasama dengan SC mengadakan beberapa program membina keupayaan dalam pasaran modal, begitu juga dengan persediaan mereka dalam perniagaan serta menerapkan amalan kelestarian, ESG,” katanya.

SME Corp akan memastikan 500 PMKS membangunkan matlamat pasaran serta mengumpul data daripada mereka. Daripada jumlah itu, 200 syarikat disasar untuk bersedia dengan pasaran modal menjelang 2026.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini