comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Laporan SC: Pasaran Modal Islam sumbang lebih 60 peratus daripada modal pasaran – SC

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Pasaran Modal Islam (ICM) kekal sebagai komponen utama pasaran modal Malaysia, yang menyumbang 64.38 peratus kepada saiz keseluruhannya sehingga Disember 2022, menurut Suruhanjaya Sekuriti (SC).

Dalam Laporan Tahunan 2022 yang dikeluarkan hari ini, SC berkata saiz ICM meningkat kepada RM2,322.30 bilion pada akhir 2022 daripada RM2,308.54 bilion pada akhir 2021.

Ini merangkumi jumlah permodalan pasaran sekuriti patuh Syariah sebanyak RM1,138.53 bilion dan jumlah sukuk belum tebus  RM1,183.77 bilion.

Pada Disember 2022, sekuriti patuh Syariah meningkat kepada 789 daripada 750 pada akhir 2021, merangkumi 81.17 peratus daripada 972 sekuriti tersenarai di Bursa Malaysia.

“Permodalan pasaran sekuriti patuh Syariah berjumlah RM1,138.53 bilion atau 65.58 peratus daripada jumlah permodalan pasaran, turun 5.46 peratus berbanding akhir 2021,” menurut laporan itu.

SC berkata terbitan sukuk korporat mewakili 81.66 peratus (2021: 79.98 peratus) daripada jumlah terbitan bon dan sukuk korporat, manakala sukuk korporat belum tebus berjumlah 82.83 peratus (2021: 81.42 peratus) daripada jumlah bon dan sukuk korporat belum tebus.

Menurutnya jumlah terbitan sukuk pada 2022 mewakili 68.23 peratus (2021: 62.91 peratus) daripada jumlah terbitan bon dan sukuk, manakala jumlah sukuk belum tebus mewakili 63.27 peratus (2021: 63.43 peratus) daripada jumlah bon dan sukuk belum tebus.

Tujuh penerbit menerbitkan sukuk Pelaburan Mampan dan Bertanggungjawab (SRI) pada 2022, menjadikan jumlah penerbit sukuk SRI kepada 25 sejak 2015.

Terbitan sukuk SRI korporat pada 2022 berjumlah RM10.58 bilion iaitu 8.45 peratus daripada jumlah terbitan sukuk korporat, manakala sukuk korporat SRI belum tebus meningkat kepada RM17.93 bilion pada Disember 2022 daripada RM8.11 bilion pada 2021, yang mewakili 2.69 peratus daripada jumlah sukuk korporat belum tebus (tidak termasuk kertas perdagangan /kertas perdagangan bercirikan Islam.

Pada Disember 2022, SC menjelaskan, aset di bawah pengurusan (AUM) Islam berjumlah RM205.86 bilion, mencatatkan penurunan sebanyak 8.43 peratus daripada RM224.80 bilion pada akhir 2021.

Menurutnya bilangan skim pelaburan kolektif Islam (CIS) (dana unit amanah UTF), dana borong (WF), Skim Persaraan Swasta (PRS), Amanah pelaburan hartanah (REIT) dan dana dagangan bursa (ETF) berjumlah 404 pada Disember 2022 termasuk 20 dana SRI Islam.

Terdapat 57 syarikat pengurusan dana (FMC) yang menguruskan dana Islam, dengan 24 syarikat pengurusan dana Islam (IFMC) dan 33 FMC yang menawarkan rangkaian produk Islam pada Disember 2022, katanya.

Sebagai pemimpin global ICM, SC meneruskan usaha untuk memajukan libat urus bersama pihak berkepentingan dengan memanfaatkan kedudukan Malaysia sebagai pemimpin pemikiran ICM.

Sepanjang 2022, acara ICM yang diterajui oleh SC menghimpunkan pihak berkepentingan utama termasuk cendekiawan, pengamal, pengawal selia, pengantara dan pelabur untuk memangkin perbincangan yang berkisar mengenai peranan ICM dalam memajukan pembangunan mampan, keterangkuman, kewangan sosial Islam dan teknologi kewangan Islam.

Pelbagai platform strategik seperti persidangan, bengkel dan forum telah menjadi daya pendorong untuk membina kejayaan libat urus pihak berkepentingan ICM di peringkat domestik dan global.

Memenuhi keperluan pihak berkepentingan yang lebih luas adalah teras kepada objektif dan tujuan libat urus pihak berkepentingan pasaran modal Islam SC pada 2022, selaras dengan Pelan Induk Pasaran Modal 3 (CMP3) SC.

Penekanan adalah untuk mencapai ekonomi pihak berkepentingan yang didorong oleh penciptaan nilai jangka panjang yang mana perniagaan memikul tanggungjawab lebih besar di luar keuntungan jangka pendek dan mengambil kira keperluan semua pihak berkepentingan, daripada pemegang saham, kakitangan dan rakan kongsi perniagaan kepada alam sekitar, masyarakat dan komuniti.

Pergerakan untuk menggalakkan kemampanan dan memelihara iklim dan masyarakat juga selaras dengan konsep maqasid al-Shariah (matlamat Syariah), yang menggalakkan pencapaian manfaat dan kemudaratan kepada masyarakat. – BERNAMA

Loading...
Terkini