comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Pasaran modal perlu perluas tawaran untuk sokong peralihan ESG

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC)

KUALA LUMPUR: Pasaran modal berperanan penting dalam membiayai perniagaan untuk beralih ke arah amalan mampan dengan memperluas pelbagai instrumen pasaran modal bagi menyokong usaha penerapan elemen alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dalam perniagaan.

Pengarah Urusan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) Kamarudin Hashim berkata selaras dengan kepentingan itu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menggesa agar sistem perbankan dan pasaran modal bertindak pantas untuk memenuhi keperluan pembiayaan perniagaan serta bagi mengantarabangsakan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan.

“Bagi tujuan mengantarabangsakan PKS kita misalnya, penerapan ESG dalam perniagaan mereka adalah sesuatu yang amat penting.

“Ini juga sejajar dengan pelancaran Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR) oleh kerajaan baru-baru bagi mempercepatkan peralihan tenaga negara yang sudah pastinya memerlukan pasaran modal untuk memberi tindak balas sewajarnya berikutan jangkaan pelaburan serta penyelesaian pembiayaan yang besar,” katanya.

Bercakap pada Persidangan ESG Antarabangsa di sini, hari ini, Kamarudin berkata pada masa ini, kebanyakan projek hijau dan sosial di Malaysia dibiayai menerusi pinjaman bank dan bon atau sukuk, termasuk yang diterbitkan di bawah Rangka Kerja Sukuk Pelaburan Mampan dan Bertanggungjawab (SRI) dan Piawaian Bon Hijau ASEAN.

Bagaimanapun, realitinya, tidak banyak PKS yang mampu mengumpulkan pembiayaan menerusi instrumen tersebut dan memerlukan penglibatan saluran alternatif atau pasaran swasta, kata beliau.

“Platform pengumpulan dana alternatif seperti pendanaan awam ekuiti (ECF) dan pembiayaan rakan setara (P2P) telah membolehkan PKS mendapat akses kepada kumpulan pelabur tradisional yang belum diterokai melalui saluran lebih murah, cepat dan mudah.

“ECF dan P2P ini juga boleh dimanfaatkan bagi menarik lebih banyak pelabur membiayai perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang disasarkan di bawah rangka kerja Ekonomi MADANI,” katanya.

Sejak penubuhannya, jumlah pembiayaan ECF dan P2P telah meningkat manakala semakin banyak PMKS beralih kepada platform digital untuk mendapatkan modal.

Sehingga Jun tahun ini, pembiayaan ECF dan P2P telah membolehkan sebanyak 9,415 PMKS mengumpul lebih daripada RM5.4 bilion bagi perniagaan masing-masing.

“Sejak beberapa tahun lepas, kita melihat PMKS yang menyertai perniagaan hijau berjaya meningkatkan pembiayaan melalui platform ECF,” katanya.

Kamarudin berkata di bawah Jawatankuasa Bersama Mengenai Perubahan Iklim (JC3), beberapa projek perintis hijau dan inisiatif pasaran modal juga sedang dilaksanakan bagi mengembangkan kewangan mampan serta usaha peralihan.

Loading...
Terkini