comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Pasaran pekerjaan negara dijangka terus bertambah baik

Kakitangan swasta dan awam menggunakan perkhidmatan MRT ke tempat kerja. – FOTO: NSTP/EIZAIRI SHAMSUDIN

KUALA LUMPUR: Pasaran pekerjaan negara dilihat dijangka bertambah baik dan kekal stabil dalam tempoh beberapa bulan akan datang, dipacu ekonomi domestik yang berdaya tahan.

Penganalisis TA Securities, Farid Burhanuddin, berkata situasi itu dijangka terus menjana peningkatan permintaan tenaga kerja, sekali gus berfungsi sebagai pemacu penting menstabilkan ekonomi secara berterusan.

“Sekiranya trend positif ini berterusan, kita boleh menjangkakan kadar pengangguran akan kekal pada kadar semasa sehingga akhir tahun,” katanya dalam nota penyelidikan.

Farid berkata, secara purata, kadar pengangguran sepanjang tahun ini diunjurkan pada 3.4 peratus, menandakan bertambah baik daripada 3.8 peratus yang dicatatkan pada 2022 dan kadar 4.6 peratus (2021).

“Pada tahun yang akan datang, kami menjangkakan pengurangan selanjutnya dalam kadar pengangguran, didorong oleh pelbagai inisiatif dan peruntukan yang bertujuan untuk meluaskan peluang kerjaya untuk pelbagai komuniti dan kumpulan sasaran,” katanya.

Beliau berkata, antara inisitif untuk memacu sektor buruh negara termasuk langkah meneruskan Program Bina Kerjaya Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) bagi memastikan pekerja tidak formal, khususnya mereka dalam ekonomi gig, memiliki akses kepada program pembangunan kerjaya dan latihan kemahiran kelayakan mikro.

“Program seperti Program Usahawan Belia Bumiputera (TUBE) dan Skim Usahawan Mudah Alih TEKUN Belia, yang direka untuk menyokong usahawan muda akan diteruskan.

“Peruntukan besar sebanyak RM6.8 bilion untuk latihan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan RM1.6 bilion kepada Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia (HRD Corp) akan menghasilkan 1.7 juta tawaran latihan.

“Langkah ini dijangka mewujudkan ekosistem mesra perniagaan dan menyediakan kumpulan pekerja berkemahiran tinggi yang lebih besar,” katanya.

Farid berkata, hasil daripada usaha itu, kerajaan menyasarkan untuk mencapai kadar pengangguran sebanyak 3.4 peratus pada 2024.

Loading...
Terkini