comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Pasaran produk makanan Halal diperluas ke negara CIS

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu hadir merasmikan Expo Makanan Antarabangsa Sabah 2024 (SIFEX2024) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), Kota Kinabalu, Sabah.

Oleh: Safwan Sawi

KOTA KINABALU: Eksport produk makanan proses berstatus halal Malaysia telah menembusi lebih 150 negara yang mencakupi 1.8 bilion umat Islam global.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata bersandarkan kejayaan itu Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) berhasrat untuk memperluaskan produk makanan halal ke Negara Bebas Komanwel (CIS) bagi meningkatkan lagi jumlah eksport negara.

“Kita import barang makanan lebih kurang 70 bilion ketika ini sedangkan kita eksport sekitar 40 bilion, jauh lagi jurangnya.

“Kalau pergi ke CIS, kita lihat barang-barang dari Malaysia amat kurang, belum lagi mencecah pasaran di sana sedangkan nama Malaysia dalam bidang halal terkenal di seluruh dunia.

“Sijil halal Malaysia dalam tempat tertinggi bagi negara Islam di seluruh dunia. Jadi kita kena lebih proaktif untuk berusaha memasarkan barangan kita terutama makanan kepada kepada negara yang kita terokai dan diusahakan secara serius seperti negara CIS tadi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Expo Makanan Antarabangsa Sabah 2024 (SIFEX2024) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini hari ini.

Justeru itu jelas Mohamad, KPKM serta kementerian lain yang berkaitan sentiasa menyokong usaha para penggiat industri makanan tempatan untuk mengembangkan produk dan perkhidmatan di peringkat global melalui pelbagai galakan dan insentif kerajaan sama ada dalam bentuk bantuan khidmat nasihat, latihan, geran pembiayaan dan insentif cukai.

SIFEX2024 mengetengahkan antaranya produk makanan, minuman, produk industri kecil dan sederhana (IKS) dan buah-buahan melibatkan 300 lot niaga oleh usahawan dari Sabah, Sarawak, Semenanjung Malaysia dan peserta luar negara.

Sementara itu jelas Mohamad teknologi digital pada era Revolusi Industri 4.0 pada masa ini mempengaruhi semua peringkat rantaian nilai agro makanan.

Ujarnya pendigitalan kini digabungkan dengan inovasi dan ekoinovasi untuk mendapatkan kelebihan daya saing yang lebih mampan.

Dengan kata lain katanya, teknologi digital merupakan kunci utama mentransformasikan kaedah sesuatu makanan dihasilkan, diproses, dijual dan dimakan.

“Dalam konteks ini, kita sering dapat melihat kejayaan luar biasa para usahawan khususnya dalam kalangan golongan belia yang lebih sinonim dengan panggilan pempengaruh media sosial, berjaya menggandakan sumber pendapatan mereka dengan meningkatkan jualan produk-produk tempatan menerusi platform media sosial,” katanya.

Sehubungan itu, beliau percaya anak-anak Sabah juga mampu menghasilkan produk makanan yang berpotensi dipasarkan dan dijual ke seluruh negara menggunakan platform aplikasi digital, dalam talian mahupun luar talian.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini