comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Pasaran saham terus terkesan ketidaktentuan politik tempatan

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Prestasi Bursa Malaysia terus menunjukkan momentum negatif pada hari kedua dengan pelabur terus melakukan penjualan hari ini susulan ketiadaan petunjuk baharu dengan kerajaan baharu masih lagi gagal dibentuk.

Bursa Malaysia mengakhiri sesi dagangan hari ini lebih rendah kerana sentimen pasaran yang lemah terus mempengaruhi selera risiko pelabur.

Pada penutup, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) merosot 6.67 mata atau 0.46 peratus kepada 1,436.55 daripada 1,447.96 pada Isnin.

Pada sesi pembukaan pagi ini, indeks utama rendah 1.24 mata pada 1,446.72.

Semalam, saham di Bursa Malaysia menyaksikan kehilangan RM7.32 bilion permodalan pasaran secara keseluruhan akibat reaksi mengejut pelabur terhadap keputusan pilihan raya umum ke-15 (PRU15) yang masih menemui jalan buntu.

Sektor yang mengalami kesan jualan besar-besaran pada Isnin itu ialah produk pengguna, perbankan, perjudian dan pengeluar minuman keras.

Dalam PRU15, tiada parti politik atau gabungan bertanding berjaya meraih majoriti 112 kerusi menyebabkan Parlimen tergantung.Keputusan di 220 kerusi Parlimen menunjukkan Pakatan Harapan memenangi 82 kerusi diikuti Perikatan Nasional (PN) (73 kerusi), BN (30 kerusi) manakala Gabungan Parti Sarawak (GPS) 23 kerusi, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) enam kerusi, Parti Warisan tiga kerusi, calon Bebas dua kerusi serta Parti Kesejahteraan Demoratik Malaysia (KDM) dan Parti Bangsa Malaysia (PBM) masing-masing satu kerusi.

Sehingga sewaktu berita ini ditulis, masih tiada kerajaan baharu dibentuk apabila tiada gabungan berjaya mencapai kata sepakat untuk membentuk kerajaan baharu. – BHONLINE

Loading...
Terkini