comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Pasaran serantau suram, Bursa Malaysia ditutup bercampur-campur

Foto Hiasan

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia mengakhiri dagangan Selasa dengan prestasi bercampur-campur, seiring dengan sebahagian besar pasaran serantau yang suram.

Kelemahan sentimen pasaran serantau itu menyusuli petunjuk daripada prestasi semalaman Wall Street yang rendah di tengah-tengah kebimbangan kemungkinan pihak Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed) akan bertindak menaikkan lagi kadar faedah dalam mesyuarat dasar monetari yang dijadualkan pada minggu depan.

Pada 5 petang, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) hampir tidak mencatat sebarang perubahan pada 1,471.55 — susut 0.01 mata daripada 1,471.56 pada akhir urus niaga semalam selepas dibuka menokok 2.57 mata kepada 1,468.99.

Indeks penanda aras itu mencatat pergerakan dalam julat 1,467.13 hingga 1,473.52 sepanjang sesi dagangan hari ini.

Bagaimanapun, sentimen pasaran mencatat peningkatan kecil dengan kaunter untung mengatasi rugi iaitu 504 berbanding 479 manakala 371 kaunter lain tidak berubah, 887 tidak diniagakan dan sembilan lain digantung dagangannya.
Jumlah dagangan meningkat kepada 4.91 bilion unit bernilai RM2.55 bilion daripada 3.99 bilion unit bernilai RM2.07 bilion pada Isnin.

Sementara itu, Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata aktiviti belian dijangka kembali dalam masa terdekat ini berikutan kegiatan penjualan saham-saham baru-baru ini.

“Kami percaya unjuran keseluruhan jangka pertengahan ini masih lagi positif berikutan penilaian yang baik, pendapatan korporat lebih kukuh serta keadaan ekonomi yang semakin baik.

“Berikutan itu, kami menjangkakan FBM KLCI menyaksikan pergerakan dalam aliran dalam julat 1,470-1,500 bagi tempoh berbaki minggu ini. Dari sudut teknikal pula, paras rintangan segera tidak berubah pada 1,500 manakala sokongan pada 1,470,” katanya kepada Bernama.

Di peringkat serantau, Indeks Nikkei 225 Jepun naik 0.24 peratus kepada 27,885.87; Indeks Straits Times Singapura turun 0.56 peratus kepada 3,249.11; Indeks Hang Seng Hong Kong susut 0.40 peratus kepada 19,441.18 manakala Indeks Komposit Jakarta merosot 1.36 peratus kepada 6,892.57.

Saham wajaran tinggi Bursa Malaysia menyaksikan Maybank untung tiga sen kepada RM8.61; Public Bank naik satu sen kepada RM4.45; Petronas Chemicals menokok enam sen kepada RM8.56, TNB menambah 11 sen kepada RM9.18, Hong Leong Bank tidak berubah pada RM20.50, CIMB meraih tujuh sen kepada RM5.57 dan IHH Healthcare turun tiga sen kepada RM5.82.

Bagi saham aktif, Dataprep naik 3.5 sen kepada 31 sen; Euro Holdings menokok tiga sen kepada 14.5 sen; AT Systematization untung satu sen kepada dua sen; PUC meraih setengah sen kepada 3.5 sen manakala Metronic dan MQ Technology turun setengah sen kepada dua sen dan 6.5 sen.

Di papan indeks pula, Indeks FBM Emas turun 3.69 mata kepada 10,583.0; Indeks FBMT 100 berkurangan 3.19 mata kepada 10,275.94; Indeks FBM Emas Shariah naik 0.23 mata kepada 10,767.68; FBM 70 merosot 16.40 mata kepada 12,930.77 dan FBM ACE melonjak 76.32 mata kepada 5,499.49.

Dari segi sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 6.43 mata kepada 16,439.42; Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 1.21 mata kepada 182.77; Indeks Perladangan menambah 28.03 mata kepada 6,725.03 manakala Indeks Tenaga berkurangan 8.94 mata kepada 805.82.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama menambah kepada 3.08 bilion saham bernilai RM1.93 bilion daripada 2.43 bilion saham bernilai RM1.68 bilion pada Isnin.

Namun, waran susut kepada 317.95 juta unit bernilai RM62.93 juta daripada 388.70 juta unit bernilai RM81.06 juta, semalam.

Di Pasaran ACE, jumlah dagangan meningkat kepada 1.51 bilion saham bernilai RM553.75 juta daripada 1.17 bilion saham bernilai RM306.25 juta.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang sebanyak 570.50 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama manakala produk dan perkhidmatan perindustrian (1.17 bilion); pembinaan (113.78 juta); teknologi (524.56 juta); SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (99.80 juta); hartanah (132.81 juta); perladangan (22.38 juta); REIT (4.43 juta), dana tertutup (37,000); tenaga (191.45 juta); penjagaan kesihatan (86.93 juta); telekomunikasi dan media (46.32 juta); pengangkutan dan logistik (84.27 juta) dan utiliti (39.89 juta). – BERNAMA

Loading...
Terkini