comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

PDB buka hab cas kereta elektrik pertama Malaysia

Hab pengecasan kenderaan elektrik PDB di Stesen PETRONAS Bandar Baru Ayer Hitam – Foto ihsan PDB

KUALA LUMPUR: Petronas Dagangan Bhd (PDB) melancarkan hab pengecasan kenderaan elektrik (EV) pertamanya di Stesen PETRONAS Bandar Baru Ayer Hitam di Lebuhraya Utara-Selatan (NSE).

Pelancaran itu menandakan muktamadnya pencapaian penting di bawah kerjasama dengan Mercedes-Benz Malaysia (MBM) dan EV Connection Sdn Bhd yang dimulakan pada November tahun lalu.

Pertama seumpamanya di stesen minyak di Malaysia, hab itu terdiri daripada tiga pengecas pantas arus terus (DC) membabitkan dua dengan kuasa 180 kW dan satu 50 kW, manakala dua lagi merangkumi pengecas EV Gentari arus ulang alik (AC).

Kemudahan baharu itu dijangka membolehkan sehingga tujuh kenderaan dicas pada satu masa.

Terletak di lokasi yang strategik menjadikannya kedudukan yang baik untuk pengguna EV yang mengembara ke arah selatan atau utara untuk mengakses hab dan mengecas kenderaan mereka, sekali gus memastikan perjalanan jarak jauh tanpa kebimbangan.Pengarah Urusan PDB, Azrul Osman Rani berkata, syarikat itu komited untuk menjadi sebahagian daripada penggunaan EV dengan menyokong aspirasi Malaysia menjadi negara rendah karbon menjelang 2040.

“Dengan mewujudkan rangkaian pengecasan EV yang lebih luas, mudah diakses, selesa dan boleh dipercayai di stesen PETRONAS, kami yakin ini akan membantu memudahkan peralihan berlaku secara berskala, melalui kerjasama dan perkongsian strategik dengan organisasi.”Dengan sokongan rakan kongsi kami, kami akan terus mengembangkan bilangan titik pengecasan EV di stesen kami seiring dengan permintaan pasaran yang semakin meningkat untuk kemudahan berkaitan.

“Di samping itu, kami juga menyepadukan kemudahan pengecasan EV dengan aplikasi Setel bagi memastikan pengalaman pelanggan yang lancar dan tanpa gangguan,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif dan Presiden MBM, Sagree Sardien berkata, kerjasama terbabit mengesahkan komitmen pengeluar kenderaan premium itu untuk meningkatkan infrastruktur pengecasan tempatan dan menggalakkan lagi penggunaan mobiliti elektrik.”Bersama-sama kami berkongsi visi untuk mencipta penyelesaian mobiliti mampan untuk generasi akan datang di Malaysia,” katanya.

Pengarah Urusan EV Connection, Ir Lee Yuen How pula berkata, perkongsian tiga pihak adalah satu langkah besar ke arah menyokong Malaysia dalam peralihan kepada EV sebagai sebahagian daripada Rangka Tindakan Mobiliti Rendah Karbon Malaysia.

“Ia juga menjadi percubaan pertama untuk menghimpunkan syarikat minyak dan gas (O&G), pengeluar kereta dan pembekal perkhidmatan pengecasan ke arah matlamat bersama untuk memacu revolusi mobiliti elektrik di rantau ini,” katanya.

Menurut PDB, selaras dengan rancangan jangka panjang Setel untuk berinovasi bagi mobiliti inklusif dan menyokong usaha penyahkarbonan global, Setel telah menambah ciri dalam aplikasinya yang membolehkan pengguna mencari stesen pengecas EV terdekat, mengaktifkan pengecas melalui e-dompet dan memperoleh mata Mesra dengan setiap transaksi serta-merta.

Dalam usaha untuk meneruskan agenda kemampanannya, PDB memeterai dua Memorandum Persefahaman (MoU) dengan tiga pihak untuk melancarkan stesen pertukaran bateri untuk dua roda elektrik dan infrastruktur pengecasan untuk bas elektrik di stesennya, baru-baru ini.

PDB juga akan meningkatkan pemasangan panel solar serta meningkatkan rangkaian tawaran bukan bahan api termasuk pengembangan operasi Café Mesra. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini