comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Pelabur asing bawa RM7 bilion ke dalam pasaran Malaysia bulan lalu

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Pelabur asing membawa masuk RM7 bilion ke dalam pasaran ekuiti dan sekuriti hutang Malaysia pada Mei, menjadikannya aliran masuk terbesar sejak Julai 2023.

Aliran masuk ekuiti berjumlah RM1.5 bilion dan aliran sekuriti hutang pula pada RM5.5 bilion, selepas pasaran tempatan menyaksikan aliran keluar pelabur asing sebanyak RM800 juta pada April lalu.

UOB Research berkata, aliran masuk itu membantu mengubah portfolio asing terkumpul bagi ekuiti dan bon buat kali pertama tahun ini pada RM700 juta antara Januari dan Mei.

Sementara itu, rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia (BNM) juga berubah arah dan meningkat buat kali pertama dalam tempoh empat bulan sebanyak AS$800 juta bulan ke bulan kepada AS$113.6 bilion pada Mei.

“Ia memadai untuk membiayai 5.4 bulan import barangan dan perkhidmatan dan 1.0 kali ganda jumlah hutang luar negeri jangka pendek.

“Nisbah perlindungan import adalah selesa melebihi ambang kecukupan selama tiga bulan,” katanya dalam satu nota penyelidikan, semalam.

UOB Research berkata, ia terus menjangkakan laluan bergelombang untuk aliran modal ke pasaran baru muncul seperti Malaysia.

Katanya, ini adalah berdasarkan permulaan yang tidak menentu kepada kitaran pemotongan kadar Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS), risiko geopolitik yang berlarutan, peningkatan perlindungan perdagangan dan peningkatan kebimbangan mengenai pembaharuan dasar dalam negeri.

Ringgit juga, katanya akan kekal bergantung kepada turun naik walaupun langkah-langkah penyelarasan berterusan dijalankan oleh pihak berkuasa.

Katanya, BNM menganggarkan terdapat AS$6 bilion hingga AS$7 bilion potensi pendapatan tahunan untuk ditukar bagi membantu mengimbangi sebarang aliran keluar negatif dan menjadi penstabil aktif bagi ringgit.

“Hubungan yang lebih kukuh kepada yuan China juga akan menjadi penghalang kepada ringgit kerana yuan dijangka pulih secara meluas pada separuh kedua 2024,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini