comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Pelabur asing beli bersih RM535 juta saham Bursa Malaysia

FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Pelabur asing terus menyokong pasaran saham Malaysia minggu lalu, dengan aliran masuk bersih berjumlah RM535 juta selepas merekodkan jualan bersih dalam masa singkat pada minggu sebelumnya, demikian menurut MIDF Research.

Ia merupakan minggu dagangan singkat bersempena dengan cuti umum Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim pada 3 Jun lalu.

Dalam laporan aliran dana mingguan terkini yang dikeluarkan hari ini, firma penyelidikan pasaran itu berkata pelabur asing membuat belian bersih di Bursa Malaysia sebanyak RM253.7 juta pada Selasa, RM163.6 juta pada Khamis dan RM186.8 juta pada Jumaat.

Pelabur asing membuat jualan bersih bernilai RM69.1 juta pada Rabu minggu lalu.

Sektor dengan aliran masuk asing bersih tertinggi pada minggu lalu adalah utiliti (RM167.5 juta), pengangkutan dan logistik (RM134.5 juta), dan teknologi (RM115.7 juta).

“Sektor yang mencatat aliran keluar asing bersih tertinggi adalah perladangan (RM108.2 juta), telekomunikasi dan media (RM32.1 juta) dan tenaga (RM22.4 juta),” katanya.

Sebaliknya, MIDF Research berkata institusi tempatan kembali membuat jualan bersih sebanyak RM293.5 juta selepas belian bersih dalam masa singkat pada minggu terdahulu.

Malah, peruncit tempatan kembali kepada jualan bersih selepas melakukan belian bersih dalam masa singkat pada minggu sebelumnya, dengan menjual ekuiti bernilai RM242.5 juta.

Mereka membuat jualan bersih pada sepanjang minggu lalu.Dari segi jumlah penyertaan, purata jumlah dagangan harian (ADTV) menyusut masing-masing sebanyak 6.3 peratus bagi peruncit, 2.7 peratus bagi institusi tempatan dan 21.7 peratus membabitkan pelabur asing.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini