comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Pelabur asing henti beli saham selepas empat minggu

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Pelabur asing mengakhiri belian bersih selama empat minggu berturut-turut di Bursa Malaysia minggu lalu, apabila menjual bersih ekuiti bernilai RM93.1 juta, demikian menurut penyelidikan MIDF Amanah Investment Bank Bhd.

Menerusi Laporan Aliran Dana mingguan yang dikeluarkan hari ini, bank pelaburan itu menjelaskan bahawa jualan bersih berlaku setiap hari dagangan pada minggu lalu kecuali Isnin apabila pelabur asing membeli bersih RM29.8 juta, dengan pembelian didapati dilakukan terhadap saham seperti Public Bank (RM42.2 juta), Sime Darby (RM29.4 juta) dan YTL Power (RM28.6 juta).

“Tiga sektor teratas dengan aliran masuk asing bersih tertinggi ialah utiliti (RM181.4 juta), pembinaan (RM67.0 juta) dan tenaga (RM51.8 juta).

“Sementara itu, sektor yang mencatatkan aliran keluar asing bersih tertinggi ialah produk dan perkhidmatan pengguna (RM241.2 juta), pengangkutan dan logistik (RM103.7 juta), serta produk dan perkhidmatan perindustrian (RM99 juta),” tambahnya.

Menurut penyelidikan MIDF Amanah Investment, institusi tempatan terus menjadi penjual bersih bagi minggu ketiga berturut-turut dengan nilai berjumlah RM141.6 juta.

Sektor teknologi mencatatkan aliran keluar bersih tertinggi daripada kumpulan pelabur itu, dengan nilai berjumlah RM122.6 juta, jelasnya.

Bank pelaburan itu memaklumkan bahawa peruncit tempatan terus menjadi penjual bersih ekuiti domestik, walaupun dengan kadar yang lebih perlahan pada RM10 juta berbanding minggu sebelumnya sebanyak RM383.3 juta.

Dari segi penyertaan, MIDF Amanah Investment menjelaskan terdapat peningkatan dari segi jumlah dagangan harian purata (ADTV) dalam kalangan peruncit tempatan (meningkat 2.6 peratus), institusi tempatan (naik 3.4 peratus) dan pelabur asing (meningkat 10.6 peratus).-BERNAMA

Loading...
Terkini