comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Pelabur asing jadi pembeli bersih minggu lepas di Bursa Malaysia

Foto hiasan.

KUALA LUMPUR: Pelabur asing berubah menjadi pembeli bersih ekuiti Malaysia minggu lalu apabila membeli saham bernilai RM425.62 juta selepas menjadi penjual bersih pada minggu sebelumnya, menurut MIDF Research.

Mereka ialah pembeli bersih setiap hari minggu lepas, dengan aliran masuk terbesar direkodkan pada Khamis dan Jumaat masing-masing pada RM97.42 juta dan RM105.96 juta.

Aliran masuk bersih pada Isnin, Selasa dan Rabu pula masing-masing berjumlah RM89.89 juta, RM55.77 juta dan RM76.57 juta.

Menurut cabang penyelidikan MIDF Amanah Investment Bank Bhd itu, tiga sektor teratas yang mengalami aliran masuk bersih oleh pelabur asing minggu lepas ialah perkhidmatan kewangan dengan RM137.6 juta, produk dan perkhidmatan pengguna berjumlah RM133 juta dan penjagaan kesihatan sebanyak RM70.4 juta.

Tiga sektor dengan aliran keluar bersih pula ialah pembinaan dengan jumlah RM10.2 juta, pengangkutan dan logistik sebanyak RM4 juta, dan amanah pelaburan hartanah (REIT) pada RM1.4 juta.

MIDF Research menambah institusi tempatan berubah menjadi penjual bersih dengan berjumlah RM252.04 juta, selepas menjadi pembeli bersih minggu sebelumnya.

“Mereka ialah penjual bersih dari Isnin hingga Khamis sebelum belian bersih RM10.01 juta pada Jumaat,” tambahnya.

Ia menjelaskan peruncit tempatan merupakan penjual bersih bagi minggu lepas dengan jualan bersih RM173.57 juta, dan mereka menjual bersih setiap hari, dengan aliran keluar paling teruk pada Jumaat iaitu RM115.97 juta.

Dana antarabangsa menjadi pembeli bersih selama 26 daripada 45 minggu bagi tahun ini setakat ini, dengan jumlah aliran masuk bersih RM6.18 bilion.

Institusi tempatan pula menjadi penjual bersih selama 31 daripada 45 minggu, dengan jumlah aliran keluar bersih RM8.14 bilion.

Peruncit tempatan menjadi pembeli bersih selama 28 daripada 45 minggu setakat ini bagi 2022 dengan RM1.96 bilion.

Dari segi penyertaan, terdapat peningkatan dalam kalangan peruncit tempatan dan institusi tempatan masing-masing sebanyak 3.15 peratus dan 1.40 peratus.

Bagi pelabur asing, terdapat penurunan sebanyak 7.21 peratus.

“Kami menjangkakan penyertaan pasaran yang lebih kukuh minggu ini kerana pelabur dijangka membuat pegangan susulan hari pengundian Pilihan Raya Umum ke-15 pada Sabtu dan semakan FBM KLCI separuh tahun yang akan datang,” jelasnya. – BERNAMA

Loading...
Terkini