comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Pelabur asing jual ekuiti bernilai RM168.5 juta minggu lepas

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Kalangan pelabur asing menjual ekuiti Malaysia berjumlah RM168.5 juta pada minggu lepas yang juga minggu kedua berturut-turut.

Angka itu meningkat tiga kali daripada jumlah jualan bersih pada minggu berakhir 3 Jan 2023, kata MIDF Research dalam nota tinjauannya hari ini.

Cabang penyelidikan Amanah Investment Bank Bhd itu berkata Bank Negara Malaysia (BNM) telah mengambil langkah di luar jangkaan dengan mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) pada 2.75 peratus Khamis lepas, namun ahli ekonomi yakin kadar itu mungkin dinaikkan sebanyak 25 mata asas lagi dalam mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) pada Mac berikutan inflasi teras yang kekal tinggi.

“Setakat tahun ini, pelabur asing telah menjual sejumlah RM142.9 juta bersih ekuiti Malaysia,” katanya.

Menurut MIDF Research, minggu berakhir 20 Januari menyaksikan aliran masuk dana asing sebanyak RM85.4 juta pada Selasa manakala baki empat hari berikutnya menyaksikan aktiviti jualan bersih oleh warga asing.

“Jumlah jualan bersih tertinggi berlaku pada Rabu iaitu sehari sebelum mesyuarat MPC BNM iaitu sebanyak RM114.6 juta,” katanya.

Tiga sektor utama yang menyaksikan aliran masuk asing bersih pada minggu lepas adalah tenaga (RM31.0 juta); penjagaan kesihatan (RM30.5 juta) dan teknologi (RM21.3 juta) manakala tiga sektor utama dengan aliran keluar asing bersih adalah perkhidmatan kewangan (-RM272.4 juta), produk dan perkhidmatan perindustrian (-RM9.9 juta) serta pengangkutan dan logistik (-RM2.4 juta).

Selain itu, MIDF Research berkata institusi tempatan kekal sebagai pembeli bersih bagi minggu kedua berturut-turut selepas pembelian bersih ekuiti bernilai RM391.6 juta minggu lepas.

Malah, setiap hari dagangan berikutnya merupakan hari belian bersih kecuali Selasa yang mencatat aliran keluar bersih sebanyak RM64.3 juta oleh kalangan institusi tempatan.

“Pihak institusi tempatan berperanan sebagai pembeli bersih ekuiti domestik setakat tahun ini dengan jumlah aliran masuk bersih sebanyak RM606.5 juta,” katanya.

Peruncit tempatan pula telah menjual sejumlah RM223.1 juta pada minggu lepas, susut sedikit berbanding RM292.6 juta yang dijual bersih pada minggu berakhir 13 Jan 2023.

“Setiap hari dagangan (pada minggu lepas) merupakan hari jualan bersih oleh peruncit tempatan dengan jualan bersih tertinggi pada Jumaat sebanyak RM79.1 juta. Ini mungkin disebabkan oleh aktiviti pengambilan untung menjelang cuti Tahun Baharu Cina,” katanya.

Bagi tempoh setakat ini, kata MIDF Research, peruncit tempatan telah membuat jualan bersih ekuiti Malaysia sebanyak RM463.6 juta.

Dari segi penyertaan, ia berkata purata jumlah dagangan harian dalam kalangan peruncit tempatan mencatat penurunan (-10.5 peratus) manakala institusi tempatan (-10.3 peratus) dan pelabur asing (-11.9 peratus). – BERNAMA

Loading...
Terkini