comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Pelabur asing jual ekuiti bernilai RM731.8 juta minggu lepas

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Pelabur asing kekal sebagai penjual bersih ekuiti di Bursa Malaysia untuk minggu keempat berturut-turut bernilai RM731.8 juta, meningkat daripada RM301.2 juta pada minggu sebelumnya, kata MIDF Research.

Dalam nota tinjauannya hari ini, cabang penyelidikan MIDFcabang penyelidikan MIDF Amanah Investment Bank Bhd itu berkata pada setiap hari dagangan minggu lepas merupakan hari jualan bersih oleh pelabur asing dengan angka tertinggi pada Rabu sebanyak RM259.1 juta dan seterusnya Isnin berjumlah RM196.7 juta.

“Angka lebih rendah dicatatkan pada Selasa iaitu RM90.4 juta, Khamis (RM99.9 juta) dan Jumaat sebanyak RM85.6 juta,” katanya.

Menurutnya, tiga sektor mencatat aliran masuk asing bersih adalah masing-masing pembinaan sebanyak RM68.2 juta, pengangkutan dan logistik RM11.1 juta dan REIT RM1.0 juta.

Tiga sektor utama dengan aliran keluar bersih paling ketara adalah perkhidmatan kewangan sebanyak RM459.7 juta, produk dan perkhidmatan perindustrian RM100.0 juta manakala perladangan   RM78.3 juta.

Institusi tempatan terus merekodkan belian bersih bagi minggu kedua berturut-turut, didorong oleh senario politik domestik yang lebih stabil dan memacu sentimen pelabur apabila membeli saham bernilai RM680.4 juta pada minggu lepas – jumlah tertinggi setakat tahun ini.

Selain itu, pelabur asing merupakan pembeli bersih bagi 27 daripada 49 minggu dalam 2022 yang mencatat jumlah aliran masuk bersih sebanyak RM4.80 bilion manakala institusi tempatan merupakan penjual bersih selama 32 daripada 49 minggu dengan jumlah aliran keluar bersih sebanyak RM6.89 bilion.

“Peruncit tempatan merupakan pembeli bersih bagi 31 daripada 49 minggu. Malah, setakat tahun ini, mereka adalah pembeli bersih dengan nilai RM2.09 bilion.

“Dari segi penyertaan pula, terdapat penurunan puraa nilai dagangan harian (ADTV) dalam kalangan pelabur asing, institusi tempatan serta peruncit iaitu masing-masing sebanyak 51.1 peratus, 23.6 peratus dan 11.2 peratus,” katanya.

MIDF berkata, bagi prestasi serantau, pelabur asing mengakhiri aliran belian bersih selama enam minggu berturut-turut pada minggu lepas dan pelabur yang disenaraikan sebagai ‘asing’ membuat jualan bersih bernilai US$2.71 bilion iaitu angka tertinggi sejak minggu berakhir 30 Sept, 2022.

“Setakat tahun ini, terdapat 20 minggu pembelian bersih dan 29 minggu jualan bersih dan aliran keluar bersih ekuiti Asia oleh pelabur asing yang kami tinjau didahului oleh Taiwan, Korea dan Indonesia,” katanya. – BERNAMA

Loading...
Terkini