comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Pelabur asing jual ekuiti RM204.6 juta minggu lepas

Foto hiasan

Pelabur asing menjadi penjual bersih pada minggu dagangan akhir 2022 dengan melepaskan saham bernilai RM204.6 juta berbanding belian bersih RM51.2 juta pada minggu terdahulu.

MIDF Research berkata minggu berkenaan adalah minggu dagangan yang singkat berikutan cuti Krismas, dengan pelabur asing memulakan minggu itu dalam sentimen positif apabila membeli bersih RM10.1 juta pada Selasa, manakala RM99.2 juta pada Rabu.

“Bagaimanapun, jumlah belian bersih itu tidak cukup untuk mengalihkan aktiviti pengambilan untung pada Khamis iaitu pada kadar RM9.8 juta dan RM304.1 juta pada Jumaat.

“Tiga sektor utama yang merekodkan aliran masuk asing bersih adalah penjagaan kesihatan iaitu RM16.5 juta, teknologi RM12.3 juta, serta pengangkutan dan logistik sebanyak RM7.2 juta,” katanya dalam nota mingguan.

Tiga sektor utama mencatat aliran keluar asing bersih adalah perladangan iaitu RM64.7 juta, produk dan perkhidmatan perindustrian sebanyak RM57.1 juta serta perkhidmatan kewangan RM46.0 juta, katanya.

MIDF Research berkata institusi tempatan membeli bersih RM290.4 juta pada minggu lepas, namun bagi minggu berakhir 23 Dis 2022, mereka menjual bersih ekuiti bernilai RM52.1 juta.

“Selasa dan Rabu adalah hari jualan bersih, masing-masing pada RM44.6 juta dan RM149.0 juta.

“Pendirian mereka mengenai pelaburan menjadi positif pada Khamis apabila membeli bersih RM41.6 juta dengan belian bersih terbesar yang dilihat pada Jumaat iaitu RM442.4 juta,” katanya.

Peruncit tempatan turut menjadi penjual bersih apabila menjual saham bernilai RM85.8 juta, namun sebelum itu mereka telah membeli bersih untuk tempoh tiga minggu berturut-turut.

“Peruncit tempatan membeli bersih RM34.4 juta pada Selasa dan RM49.9 juta pada Rabu.

“Mereka memulakan pengambilan untung pada sepanjang minggu sebanyak RM31.8 juta pada Khamis dan RM138.3 juta pada Jumaat,” menurut firma penyelidikan itu.

Dari segi penyertaan, purata kuantiti dagangan harian bagi peruncit tempatan (10.0 peratus), institusi tempatan (32.6 peratus), dan pelabur asing (18.8 peratus) mencatatkan pertumbuhan pada minggu lepas.

MIDF Research berkata, pada akhir 2022, pelabur asing merupakan pembeli bersih bagi tempoh 27 minggu daripada 52 minggu tahun lepas dengan jumlah aliran masuk bersih RM4.38 bilion.

Institusi tempatan pula menjadi penjual bersih bagi tempoh 33 minggu daripada 52 minggu pada 2022 dengan jumlah aliran keluar bersih RM6.42 bilion.

Peruncit tempatan turut menjadi pembeli bersih selama 33 minggu daripada 52 minggu pada tahun lepas dengan jumlah aliran masuk bersih RM2.04 bilion. – BERNAMA

Loading...
Terkini