comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Pelabur asing jual RM380 juta ekuiti minggu lalu

Foto Hiasan

KUALA LUMPUR: Pelabur asing menjual ekuiti Malaysia berjumlah sehingga RM380.8 juta pada minggu dagangan yang lebih singkat minggu lepas berikutan cuti umum Hari Wilayah Persekutuan.

Ini berbanding RM57.8 juta pada minggu sebelumnya, menandakan jualan bersih minggu keempat berturut-turut.

Menurut MIDF Research, bagi minggu lepas, aliran masuk bersih hanya dicatatkan pada Khamis sebanyak RM35.6 juta manakala aliran keluar paling banyak adalah pada Selasa berjumlah RM98.9 juta sebelum pasaran ditutup untuk cuti umum pada Rabu.

“Tiga sektor teratas yang menyaksikan aliran masuk bersih oleh pelabur asing minggu lepas ialah produk dan perkhidmatan pengguna RM58.7 juta, teknologi RM23.7 juta dan telekomunikasi dan media RM15.7 juta.

“Tiga sektor terbawah dengan aliran keluar bersih ialah perkhidmatan kewangan RM174 juta, penjagaan kesihatan RM43.3 juta dan perladangan RM35.9 juta. Setakat tahun ini, pelabur asing telah menjual bersih RM89.1 juta,” katanya.

Sementara itu, MIDF berkata institusi tempatan mengekalkan minat belian mereka di Bursa Malaysia dengan belian bersih RM130.6 juta minggu lepas, iaitu belian bersih minggu keempat berturut-turut.

“Peruncit tempatan bertukar pembeli bersih minggu lepas, membalikkan arah aliran jualan bersih tiga minggu berturut-turut. Belian bersih mereka mencecah nilai RM49.4 juta setakat Jumaat lepas.

Mereka hanya menjual bersih RM36 juta pada Khamis tetapi menjadi pembeli bersih dengan merekodkan RM38.9 juta pada Isnin, RM39.6 juta pada Selasa dan RM6.9 juta pada Jumaat,” katanya.

Dari segi penyertaan, ia berkata terdapat peningkatan dalam purata jumlah dagangan harian secara keseluruhan iaitu 64.7 peratus, 19.6 peratus dan 7.8 peratus masing-masing daripada pelabur asing, institusi tempatan dan peruncit tempatan. – BERNAMA

Loading...
Terkini