comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Pelabur asing jual semula saham selepas lima minggu

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Pelabur asing mencatatkan jualan bersih RM276.4 juta minggu lalu selepas merekodkan pembelian bersih selama lima minggu, kata MIDF Research.

Trend yang sama turut dilihat di Taiwan, Vietnam, Thailand dan Indonesia.

Dalam Laporan Aliran Dana untuk minggu berakhir 8 Disember 2023, firma penyelidikan itu berkata jualan bersih tertinggi untuk minggu itu dilihat pada Khamis berjumlah RM95.4 juta, diikuti Isnin sebanyak RM92.5 juta.

Tiga sektor teratas dengan aliran masuk asing bersih minggu lalu ialah utiliti (RM118.5 juta), hartanah (RM19.1 juta) dan pembinaan (RM9.4 juta).

Tiga sektor teratas dengan aliran keluar asing bersih ialah produk dan perkhidmatan pengguna (RM191.3 juta), pengangkutan dan logistik (RM62.3 juta) serta produk dan perkhidmatan perindustrian (RM48.4 juta).

Sebaliknya, institusi tempatan bertukar kepada pembeli bersih, mencatatkan belian RM194 juta selepas menguasai jualan bersih lima minggu berturut-turut.

“Belian bersih dilihat hampir setiap hari dagangan minggu berkenaan, kecuali Selasa apabila terdapat aliran keluar RM21.4 juta.

“Pada hari itu, institusi tempatan dilihat menjual saham Kumpulan CIMB (RM25.5 juta), YTL Power (RM16.7 juta), dan Public Bank (RM15.3 juta),” kata MIDF Research.

Pada masa yang sama, peruncit tempatan mengekalkan pembelian bersih ekuiti domestik mereka untuk minggu kedua berturut-turut pada RM82.4 juta.

“Ini mewakili kadar sederhana yang ketara berbanding pembelian bersih RM210.9 juta yang dicatatkan pada minggu sebelumnya,” katanya.

Dari segi penyertaan, terdapat penurunan dalam purata jumlah dagangan harian (ADTV) secara keseluruhan, dengan peruncit tempatan (15.3 peratus), institusi tempatan (16.4 peratus), dan pelabur asing (49.9 peratus).

Loading...
Terkini