comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Pelabur asing kekal pembeli bersih saham untuk minggu keempat

KUALA LUMPUR: Pelabur asing kekal sebagai pembeli bersih di Bursa Malaysia untuk minggu keempat berturut-turut sebanyak RM873.9 juta pada minggu lalu, sekali gus menjadikan aliran masuk asing setakat ini berjumlah RM4.9 juta, kata MIDF Research.

Dalam laporan aliran dana yang dikeluarkan hari ini, pasukan penyelidik MIDF Research berkata, minat yang berterusan dalam pasaran domestik mungkin didorong oleh keyakinan terhadap ekonomi negara.

Katanya, perangkaan terkini menunjukkan kenaikan keluaran dalam negara kasar (KDNK) pada 4.2 peratus bagi suku pertama 2024.

“Ini (perangkaan suku pertama 2024) melebihi unjuran pertumbuhan 3.9 peratus oleh kaji selidik Reuters dan anggaran awal yang dikeluarkan oleh kerajaan,” katanya.

MIDF Research berkata, dana asing adalah pembeli bersih di Malaysia sepanjang minggu, dengan aliran masuk bersih tertinggi sebanyak RM299.98 juta pada Rabu.

“Ini menandakan permulaan bagi pembelian bersih yang kukuh oleh dana asing, dengan hari-hari berikutnya menyaksikan aliran masuk bersih melebihi RM100 juta setiap hari.

“Khamis mencatatkan RM269.2 juta, manakala Jumaat menyaksikan pembelian sebanyak RM184.3 juta,” katanya.

MIDF Research berkata, sektor yang mencatatkan aliran masuk asing tertinggi ialah pengangkutan dan logistik sebanyak RM223.6 juta, utiliti sebanyak RM189.1 juta dan penjagaan kesihatan sebanyak RM183.3 juta.

Ia berkata, satu-satunya sektor yang mencatatkan aliran keluar asing bersih ialah perladangan sebanyak RM64.7 juta dan pembinaan dengan jumlah aliran keluar sebanyak RM6.7 juta.

Sementara itu, MIDF Research berkata, institusi tempatan meneruskan jualan bersih mereka untuk minggu ketiga berturut-turut, berjumlah RM379.7 juta, manakala jualan bersih peruncit tempatan berlanjutan ke minggu ke-10 yang berjumlah RM494.1 juta.

Dari segi penyertaan dalam pasaran, purata jumlah dagangan harian meningkat untuk peruncit tempatan (+27.1 peratus), institusi tempatan (+18.0 peratus) dan pelabur asing (+8.5 peratus).

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini