comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Pelabur asing kekal sebagai pembeli bersih, catat aliran masuk RM172.4 juta 

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia terus menyaksikan pelabur asing sebagai pembeli bersih untuk minggu ketiga berturut-turut, dengan merekodkan jumlah aliran masuk RM172.4 juta.

Bagaimanapun, jumlah itu jauh lebih sederhana berbanding minggu sebelumnya iaitu RM676.7 juta.

Menurut MIDF Research, dagangan Rabu minggu lepas mencatatkan aliran masuk asing harian tertinggi berjumlah RM191.9 juta manakala pada Khamis sebanyak RM43.7 juta.

“Namun begitu, pada Jumaat, terdapat aliran keluar bersih sebanyak RM58.2 juta,” katanya dalam Laporan Aliran Dana bagi minggu berakhir 17 Nov.

Firma penyelidikan itu menyatakan tiga sektor teratas dengan aliran masuk asing bersih tertinggi ialah utiliti (RM115.2 juta), penjagaan kesihatan (RM63.5 juta), serta pengangkutan dan logistik (RM51.9 juta).

Tiga sektor teratas dengan aliran keluar asing bersih tertinggi ialah produk dan perkhidmatan perindustrian (RM41.6 juta), produk dan perkhidmatan pengguna (RM31.0 juta) dan teknologi (RM30.8 juta).

Sementara itu, institusi tempatan merekodkan jualan bersih RM95.6 juta minggu lepas, iaitu jualan bersih minggu ketiga berturut-turut.

Setiap hari dagangan pada minggu berkenaan menyaksikan jualan bersih, kecuali pada Jumaat apabila Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan keluaran dalam negara kasar (KDNK) Malaysia meningkat sebanyak 3.3 peratus tahun ke tahun pada suku ketiga 2023.

Peruncit tempatan meneruskan jualan bersih mereka untuk minggu keenam berturut-turut, dengan jualan bersih berjumlah RM76.8 juta. — BERNAMA

Loading...
Terkini