Tumpuan :
Detik Niaga

Pelabur asing kembali sebagai pembeli bersih di Bursa Malaysia minggu lepas – MIDF

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia menyaksikan kehadiran semula pelabur asing sebagai pembeli bersih ekuiti dengan mencatat belian bersih sebanyak RM163.7 juta, dua minggu selepas melakukan jualan bersih, kata MIDF Research.

Dalam Laporan Aliran Dana bagi tempoh berakhir 3 Nov, 2023 yang dikeluarkan hari ini, cabang penyelidikan MIDF Amanah Investment Bank Bhd itu berkata pelabur asing membeli saham masing-masing bernilai RM58.3 juta pada Selasa, RM83.3 juta pada Khamis serta RM210.5 juta pada Jumaat.

Bagaimanapun, pelabur asing menjadi penjual bersih dengan melepaskan ekuiti bernilai RM79.2 juta pada Isnin dan RM109.2 juta pada Rabu.

“Tiga sektor utama dengan aliran masuk dana asing bagi minggu berkenaan adalah utiliti (RM56.7 juta), pembinaan (RM54.7 juta) serta hartanah (RM48.5 juta).

“Sebaliknya, tiga sektor utama yang mencatat aliran keluar dana asing adalah perkhidmatan kewangan (RM60.9 juta), produk dan perkhidmatan pengguna (RM42.9 juta) serta tenaga (RM10.8 juta),” katanya.

Selain itu, institusi tempatan pula menamatkan aktiviti belian bersih selama empat minggu dengan menjual ekuiti RM93.4 juta pada minggu lepas.

MIDF berkata, institusi terbabit bertindak melakukan jualan bernilai RM54.0 juta pada Selasa, RM41.0 juta pada Khamis dan RM137.6 juta pada Jumaat dan melakukan pembelian bersih ekuiti RM55.6 juta pada Isnin dan RM83.6 juta pada Rabu.

Sementara itu, pelabur runcit tempatan meneruskan jualan bersih bernilai RM70.3 juta pada minggu lepas iaitu bagi tempoh empat minggu berturut-turut yang merangkumi masing-masing RM4.3 juta pada Selasa, RM42.3 juta pada Khamis dan RM72.9 juta pada Jumaat.

“Mereka melakukan pembelian bersih RM23.6 juta pada Isnin dan RM25.6 juta pada Rabu,” katanya.

Dari segi penyertaan, MIDF berkata terdapat penurunan 10.4 peratus dalam nilai purata dagangan harian dalam kalangan pelabur asing manakala pelabur runcit tempatan 2.6 peratus pada minggu lepas dan institusi tempatan sebaliknya mencatat peningkatan sebanyak 2.9 peratus. – BERNAMA

Loading...
Terkini