comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Pelabur kurang cenderung beli emas sekarang

KUALA LUMPUR: Langkah Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) untuk masih lagi menaikkan kadar faedah meskipun pada tahap lebih perlahan dilihat cenderung menyebabkan emas kurang menarik kepada pelabur.

Pengarah Urusan GG Ornaments Sdn Bhd (Gdora Malaysia), Norazlan Nordin, berkata dengan kenaikan kadar faedah, pelabur akan menukar instrumen pelaburan kepada yang menawarkan pulangan yang lebih tinggi.

Bagaimanapun, katanya kesan kenaikan kadar faedah tidak bersifat sejajar kepada emas kerana terdapat faktor lain yang boleh mempengaruhi aset selamat itu termasuk krisis geopolitik yang turut memberi kesan kepada permintaan dan penawaran emas.

“Dengan kenaikan kadar faedah Fed, pelabur lebih cenderung meneroka pelaburan yang menawarkan hasil lebih tinggi.

Kenaikan kadar akan memberi kesan kepada harga emas di mana paras semasa sudah rendah jika dibandingkan dengan pelbagai instrumen lain termasuk bon.

“Namun ketika ini, sentimen boleh berubah serta-merta disebabkan krisis perbankan dunia yang berlaku menyebabkan tahap keyakinan pelabur bagaikan pudar dan emas masih jadi pilihan walaupun tidak terlalu optimis disebabkan isu semasa yang berlaku,” katanya.

Bank pusat AS pada Rabu lalu menaikkan sekali lagi kadar faedah sekali lagi, walaupun terdapat kebimbangan bahawa langkah itu boleh menambah masalah kewangan selepas beberapa bank runtuh.

Rizab Persekutuan (Fed) menaikkan Kadar Dana Persekutuan (FFR) sebanyak 0.25 mata peratusan selepas menyatakan sistem perbankan negara itu masih berdaya tahan.

Kenaikan kadar faedah pada hari Rabu adalah yang kesembilan berturut-turut oleh Fed.Ia meningkatkan kadar faedah utamanya kepada 4.75 peratus hingga 5.0 peratus, meningkat daripada hampir sifar setahun lalu, paras tertinggi sejak 2007. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini