comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Pelaburan asing ke Johor diyakini tidak terjejas meskipun penurunan nilai ringgit – Exco

FOTO: NSTP

JOHOR BAHRU: Nilai ringgit yang menurun dalam suasana kemelesetan ekonomi global diyakini tidak menjejaskan potensi pelaburan asing di Johor sepanjang tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Johor Lee Ting Han berkata hal itu dibuktikan apabila  kerajaan negeri menerima lebih 200 pelaburan setakat 31 Mac, 2024.

Beliau berkata antara sektor yang menerima paling banyak pelaburan adalah pembuatan, elektrik dan elektronik, pemprosesan makanan serta kimia dan petrokimia.

“Sepanjang tahun lepas, Johor menerima pelaburan bernilai RM43 bilion melalui pelaksanaan 751 projek dan kita yakin Johor akan merekodkan jumlah pelaburan asing yang baik tahun ini.

“Walaupun nilai ringgit jatuh…namun kadar pertumbuhan ekonomi dan pelaburan di negeri ini masih menunjukkan trend positif,” katanya kepada pemberita selepas program tinjauan mesra Jelajah Bazar Ramadan Rahmah di Bazar Perling Mall di sini pada Isnin.

Turut hadir Pengarah Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor Lilis Saslinda Pornomo.

Lee berkata pelaksanaan beberapa projek berskala besar di Johor juga dijangka dapat menarik kemasukan lebih banyak pelaburan asing baharu ke Johor pada masa depan.

“Projek pembangunan seperti pelebaran Lebuhraya Utara Selatan yang akan bermula Jun ini selain pelebaran Lebuhraya Senai-Desaru yang akan bermula September akan merancakkan lagi ekonomi setempat.

“Kita juga bakal menandatangani perjanjian khas melibatkan Malaysia dan Singapura berkaitan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), selain Zon Kewangan Khas di Forest City dan banyak lagi,” katanya.

Beliau berkata kemasukan pelbagai pelaburan asing itu akan memberi manfaat secara langsung kepada kemakmuran negeri khususnya peningkatan taraf hidup penduduk melalui peluang pekerjaan berkualiti yang diwujudkan.

“Tahun lepas sahaja, sebanyak 19,000 pekerjaan baharu diwujudkan daripada kesemua pelaburan asing yang masuk ke negeri ini, manfaatnya diterima semua penduduk Johor,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini