comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Pelaburan Diluluskan Pada 2022 Dijangka Pulih Kepada Paras Pra-Pandemik, Lebih RM200 Bilion Setahun

Datuk Arham Abdul Rahman (Ketua Pegawai Eksekutif MIDA) dan Tan Sri Sulaiman Mahbob (Pengerusi MIDA).

Oleh Juliana Pija Ismail

KUALA LUMPUR: Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) optimis jumlah pelaburan yang diluluskan pada 2022 akan pulih kepada paras pra-pandemik dengan mencatat lebih RM200 bilion setahun.

“Dari segi purata, pelaburan langsung domestik dan pelaburan langsung asing merangkumi 60:40 daripada pelaburan tahunan diluluskan negara terutama untuk sektor perkhidmatan. Pelaburan dalam semikonduktor serta elektrik dan elektronik (E&E) akan terus membentuk sumbangan terbesar kepada jumlah pelaburan pada tahun ini” kata Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, Datuk Arham Abdul Rahman yang ditemui ketika sesi perbincangan “Shifting the Paradigm: Enhancing DDI for Sustainable Economic Growth” hari ini.

Katanya, gangguan global dalam rantaian bekalan E&E dan semikonduktor di seluruh dunia semasa pandemik menyaksikan banyak cip dan semikonduktor digunakan dalam telefon mudah alih dan pengeluaran PC, sekaligus menyebabkan kekurangan untuk industri automotif. Namun kini, permintaan untuk cip dan semikonduktor dalam industri automotif berada pada aliran meningkat.

Pada separuh pertama 2022, MIDA meluluskan jumlah pelaburan sebanyak RM123.3 bilion, sebahagian besarnya dalam sektor perkhidmatan, termasuk untuk projek pusat data di Johor.

Prestasi memberangsangkan itu memberi isyarat bahawa trend pelaburan semakin baik, didorong potensi Malaysia sebagai destinasi pilihan untuk pelaburan dalam kalangan pelabur domestik dan asing.

Pada 2021, MIDA meluluskan pelaburan berjumlah RM309.4 bilion (US$74.2 bilion) dalam sektor pembuatan, perkhidmatan dan utama meskipun menghadapi cabaran global.

Ia susulan kejayaan meraih beberapa projek besar terutamanya dalam industri E&E dan semikonduktor, termasuk daripada Intel dan Osram.

Loading...
Terkini