comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Pelaburan RM10.5 bilion Microsoft suntik keupayaan teknologi Malaysia

FOTO: Reuters

KUALA LUMPUR: Microsoft Corp yang komited untuk melabur AS$2.2 bilion (RM10.5 bilion) di Malaysia sudah pasti merupakan rangsangan bagi menyuntik keupayaan teknologi negara dan muncul sebagai pusat inovasi yang terkemuka.

Bagi memudahkan pemindahan teknologi daripada gergasi perisian Amerika Syarikat (AS) itu, kerajaan juga mesti melabur dalam menyediakan infrastruktur yang betul untuk membina ekosistem kritikal bagi menyokong pertumbuhan kecerdasan buatan (AI), sistem awan dan keupayaan keselamatan siber.

Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan Universiti Utara Malaysia (UUM), Muhammad Ridhuan Bos Abdullah, berkata Malaysia harus memanfaatkan komitmen gergasi teknologi itu untuk mempercepatkan peralihan ekonomi kepada operasi kompleks yang memiliki nilai tambah lebih tinggi berbanding amalan linear tradisional.

Amalan linear tradisional adalah mengikut corak ‘ambil-buat-buang’ tanpa mengambil kira pertimbangan kitar semula atau guna semula manakala operasi kompleks nilai tambah tinggi yang merupakan sebahagian daripada ekonomi kitaran ialah sistem yang mana produk dan bahan digunakan semula, dibaiki dan dikitar semula untuk mengurangkan sisa serta mengurangkan jejak terhadap alam sekitar dan masyarakat.

“Walaupun demikian, usaha ini memerlukan pelaburan yang tinggi daripada kerajaan dan seperti yang dijelaskan dalam Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP 2030), bakat, penyediaan infrastruktur dan insentif serta mewujudkan ekosistem adalah sangat kritikal,” katanya kepada Bernama.

Beliau menekankan bahawa pertumbuhan subsektor elektrik dan elektronik (E&E) boleh dipercepatkan dalam tempoh yang singkat menggunakan teknologi AI, yang mana penggubal dasar harus mengenal pasti bidang-bidang tertentu dalam subsektor E&E untuk meningkatkan pengeluaran eksport dan akhirnya mengembangkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

“Maksudnya di sini, dengan sokongan pelaburan modal daripada Microsoft, kepesatan teknologi akan berkembang lebih pantas dan 300,000 orang yang digabungkan dengan teknologi AI berupaya meningkatkan produktiviti (modal insan).

“Pelaburan Microsoft akan memberi manfaat untuk bakat dan kombinasi (modal dan bakat) atau peningkatan kemahiran yang akan memberi kelebihan dari segi inovasi/pengeluaran dan memberi kesan positif kepada eksport negara,” jelas beliau lagi.

Seperti di Malaysia, Microsoft turut mengumumkan komitmennya untuk melabur AS$1.7 bilion di Indonesia sambil turut menyatakan komitmennya untuk melabur di Thailand yang mana jumlahnya masih belum diumumkan.

Muhammad Ridhuan berkata, Microsoft telah mengenal pasti kelebihan daya saing dan pautan sinergi bagi tiga negara ASEAN iaitu Malaysia, Indonesia dan Thailand.

“Saya melihat ini secara positif kerana dari segi pasaran (penduduk), perundangan dan iklim pelaburan, sinergi boleh diwujudkan dalam kalangan negara-negara ini,” jelasnya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini