comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Pelaksanaan rasionalisasi subsidi RON95 boleh ditangguhkan – Penganalisis

FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Kerajaan masih boleh menangguhkan pelaksanaan rasionalisasi subsidi RON95 tertakluk kepada dividen yang bakal diberikan oleh PETRONAS tahun ini, demikian menurut Maybank Investment Bank (Maybank IB).

Ketua Ahli Ekonomi Maybank IB, Suhaimi Ilias, berkata jika penyasaran subsidi RON95 ditangguhkan, kerajaan boleh menggunakan dividen tambahan PETRONAS untuk menampung sejumlah RM4.1 bilion yang diperlukan untuk mencapai sasaran pengurangan subsidi sebanyak RM11.5 bilion daripada Belanjawan 2024.

“Sudah tentu, kerajaan memiliki kuasa dalam memutuskan berkenaan kuantum dan masa sebenar pelarasan harga petrol berkenaan. Malah, (kerajaan) boleh menangguhkannya (rasionalisasi RON95) daripada yang disasarkan.

“Sebarang kekurangan daripada perbelanjaan subsidi boleh ditampung dengan dividen tambahan PETRONAS berbanding anggaran berjumlah RM32 bilion tahun ini,” katanya dalam satu nota penyelidikan.

Suhaimi berkata, Maybank IB menganggarkan kenaikan 10 sen seliter dapat memberi penjimatan sebanyak RM2.5 bilion setahun kepada kerajaan jika rasionalisasi subsidi bahan api kenderaan itu dilaksanakan.

Namun, katanya berdasarkan simulasi bank pelaburan itu, kerajaan perlu menaikkan harga diesel sebanyak 33 sen seliter (kenaikan 16.1 peratus) jika rasionalisasi subsidi RON95 bersasar bermula pada 1 Julai ini bagi memperoleh penjimatan RM4.1 bilion pada separuh kedua 2024.

“Jika subsidi RON95 bersasar bermula pada 1 Oktober 2024, untuk mendapatkan penjimatan RM4.1 bilion pada suku keempat 2024, harga RON95 perlu dinaikkan sebanyak 69 sen seliter (33.7 peratus),” katanya.

Beliau menjelaskan, Belanjawan 2024 menyasarkan untuk mengurangkan perbelanjaan subsidi dan bantuan sosial sebanyak RM11.5 bilion, dengan sejumlah RM7.4 bilion telah dicapai menerusi penamatan subsidi elektrik (jimat RM4 bilion), subsidi harga ayam (jimat RM1.2 bilion) dan subsidi diesel (jimat RM2.2 bilion).

“Masih ada RM4.1 bilion perlu dikurangkan menerusi rasionalisasi subsidi RON95. Melihat kepada perkara ini, ia akan membabitkan kenaikan harga RON95 bersubsidi pada masa ini iaitu RM2.05 seliter,” katanya.

Suhaimi berkata, reformasi fiskal lain pada tahun ini termasuklah menambah baik kecekapan dan pematuhan sistem percukaian bagi meningkatkan kutipan menerusi pelaksanaan e-invois oleh perniagaan yang dilaksanakan berperingkat bermula 1 Jun lalu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini