KUALA LUMPUR: Kerajaan akan merangka pelan kemampanan berkaitan syarikat perkhidmatan dan peralatan minyak & gas (OGSE) untuk memberikan panduan berstruktur dan menjajarkan semula industri itu dalam era peralihan tenaga yang antara lain memberi tumpuan terhadap pembangunan modal insan.
Timbalan Ketua Setiausaha (Sektoral) Kementerian Ekonomi, Datuk Yatimah Sarjiman, berkata menjelang 2030, dianggarkan bahawa industri OGSE memerlukan kira-kira 60,000 bakat berkemahiran tinggi untuk memastikan kemampanan dan keupayaannya untuk menyumbang secara positif kepada industri minyak dan gas Malaysia.
“Oleh itu, pelan tindakan pembangunan bakat OGSE mempromosikan peluang pekerjaan OGSE dan pembinaan kapasiti untuk membantu meningkatkan kemahiran dan pensijilan bakat selaras dengan keperluan industri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perasmian pembukaan Pameran Kejuruteraan Minyak, Gas dan Petrokimia Asia (OGA) 2023 di sini, hari ini.
OGA 2023 yang berlangsung selama tiga hari bermula hari ini, disertai lebih 25,000 peserta dari 52 negara.Acara terbesar di Asia itu juga disertai 2,000 peserta pameran dan jenama di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.
Mengulas mengenai OGA 2023, Yatimah berkata beliau juga mengambil perhatian bahawa acara itu adalah salah satu acara kemuncak untuk syarikat perkhidmatan dan peralatan minyak & gas (OGSE) .
Sementara itu, Yatimah berkata kejayaan pelaksanaan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) akan melonjakkan nilai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) daripada RM25 bilion tahun ini kepada RM220 bilion dan mewujudkan 310,000 pekerjaan pada 2050.
Beliau berkata, NETR membangunkan Laluan Peralihan Bertanggungjawab (RT Pathway) 2050 yang menggariskan laluan karbon rendah sektor tenaga untuk mengurangkan 32 peratus pelepasan gas rumah hijau (GHG) pada 2050 berbanding di tahap yang dicatatkan pada 2019.