comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Peluang pekerjaan bertambah pada suku ketiga 2023

Foto hiasan

PUTRAJAYA: Permintaan buruh Malaysia terus meningkat pada suku ketiga 2023, sekali gus menunjukkan kedudukan ekonomi yang memberangsangkan sejajar dengan peningkatan berterusan aktiviti ekonomi dan sosial semasa.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata sebanyak 227,100 jawatan ditambah pada suku ketiga 2023 kepada 8.9 jawatan keseluruhannya berbanding 8.68 juta jawatan pada suku sama tahun lalu.

Beliau berkata, bilangan jawatan diisi juga mencatatkan peningkatan sebanyak 2.7 peratus dengan merekodkan 8.71 juta jawatan pada tempoh dikaji.

“Walau bagaimanapun, peluang pekerjaan dalam ekonomi yang ditunjukkan oleh bilangan kekosongan merekodkan pertumbuhan negatif, menurun sebanyak 0.2 peratus kepada 190,900 kekosongan jawatan.

“Dalam pada itu, kadar jawatan diisi meningkat secara marginal dengan 0.1 mata peratus kepada 97.9 peratus selepas mencatatkan 97.8 peratus bagi tujuh suku tahun berturut-turut manakala kadar kekosongan jawatan bagi suku tahun dikaji adalah 2.1 peratus,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Mengenai situasi jawatan diisi pada suku ketiga 2023, Mohd Uzir berkata, analisis pertumbuhan tahun ke tahun bagi jawatan diisi mengikut sektor ekonomi menyaksikan semua sektor kekal stabil pada kadar pertumbuhan yang positif.

Beliau berkata, sektor pertanian mencatatkan pertumbuhan tertinggi pada kadar 4.9 peratus, diikuti oleh pembuatan (3.2 peratus) dan perlombongan & pengkuarian (3.0 peratus).

Dari segi komposisi pula, katanya sejumlah 4.58 juta jawatan yang merangkumi 52.5 peratus daripada jumlah jawatan diisi tertumpu di sektor perkhidmatan, diikuti oleh pembuatan (27.1 peratus) dan pembinaan (14.2 peratus).

“Mengikut kategori kemahiran, jawatan diisi pada suku dikaji sebahagian besarnya adalah dalam kategori separuh mahir merangkumi 62.6 peratus atau bersamaan dengan 5.46 juta jawatan diikuti oleh mahir dengan 25.0 peratus (2.17 juta) dan berkemahiran rendah sebanyak 12.4 peratus (1.08 juta),” katanya.

Mohd Uzir berkata, statistik juga menunjukkan terdapat lebih banyak jawatan yang diwujudkan pada suku ketiga, mencatatkan sejumlah 32,000 jawatan baharu bagi memenuhi keperluan industri.

Beliau berkata, ia adalah disebabkan ekonomi Malaysia kini sedang beralih kepada fasa pemulihan yang lebih kukuh.

Foto hiasan
Loading...
Terkini