Oleh: Amanda Lopez
KUALA LUMPUR: Pihak majikan tempatan khususnya Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) mencadangkan agar majikan dikecualikan daripada mencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk pekerja asing.
Menurut Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), cadangan terbaharu kerajaan itu akan menyebabkan sektor perniagaan berdepan peningkatan kos mencecah lebih RM13 bilion setahun.
Pengarah Eksekutif, MEF, Datuk Shamsuddin Bardan berkata pada masa ini, terdapat kira kira 2.4 juta pekerja asing di Malaysia dan berdasarkan kepada gaji minima RM1,700 pada tahun hadapan, caruman majikan kepada KWSP sebanyak 13% akan melibatkan RM6.4bilion setahun.”
Tambah beliau, apabila menyatakan tentang pekerja bukan warganegara ianya juga melibatkan pegawai dagang atau ekspatriat yang berada di Malaysia.
“Pada masa ini terdapat kira-kira 195,000 pegawai dagang dengan gaji kira-kira RM26,500 sebulan, jadi caruman 12% terhadap gaji mereka akan melibatkan kira-kira RM7.3 bilion satu tahun. Justeru, lebih RM13 bilion setahun untuk pekerja asing dan pegawai dagang” kata beliau apabila diminta mengulas mengenai cadangan kerajaan itu.
Cadangan kerajaan untuk mewajibkan caruman KWSP untuk pekerja warga asing meresahkan majikan kerana ia melibatkan kos yang tinggi.
Sementara itu, Presiden, Persatuan PKS Malaysia, Chin Chee Seong, berkata tambahan kos juga berlaku setelah gaji minima RM1,700 ringgit dilaksanakan Februari tahun 2025.
“Kita baharu tambah RM200 untuk gaji minimum pada setiap pekerja, tambahan lagi kalau majikan kena carum lagi KWSP kepada pekerja asing, ini akan memberi kesan kepada aliran tunai PKS yang akan jadi masalah bagi kita.”kata beliau kepada Buletin Tv3.
Presiden Persatuan Kontraktor Bumiputera Malaysia (PKBM) Datuk Azman Yusoff, pula berkata pihaknya bersetuju mengenakan KWSP kepada pekerja asing.
Dengan ini, kerajaan dapat memantau aliran tunai pekerja asing ke luar negara serta mereka mempunyai simpanan untuk dibawa pulang ke negara asal.
Namun, PKBM memohon kerajaan agar caruman majikan dikecualikan.
“Memadai hanya kepada pekerja asing itu sahaja dan tidak dikenakan kepada majikan. Keduanya ialah dengan keadaan sekarang ini kita tahu ada syarikat G1 dan G4 dan juga pengilang mereka ini PKS sahaja,” kata beliau kepada Buletin Tv3.
Beliau yang juga Presiden Persatuan Pengilang dan Industri Perkhidmatan Bumiputera Malaysia (PENGILANG) berkata kerajaan mungkin boleh meminta majikan untuk mencarum satu hingga dua peratus bagi KWSP pekerja asing pada masa akan datang.
Turut dicadang sesi libat urus untuk menangani atau menambah baik sistem KWSP sedia ada bagi situasi menang-menang semua pemegang taruh.
Untuk rekod, Singapura memansuhkan skim caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (CPF) terhadap pekerja asing sejak tahun lalu.
Dalam pada itu, kerajaan sedang mengkaji mekanisme pelaksanaan terbaik skim caruman KWSP terhadap pekerja asing.
Kementerian Kewangan (MOF) sedang mengadakan sesi libat urus dengan pemegang taruh agar dasar holistik dibuat dengan mengambil kira pandangan semua pihak.
Dalam jawapan bertulis di Dewan Negara semalam, MOF berkata inisiatif ini bagi meningkatkan keadilan dalam pasaran tenaga kerja dengan memastikan perlindungan sosial untuk semua pekerja selaras piawaian antarabangsa.
Langkah ini juga dilihat dapat meningkatkan daya saing perniagaan tempatan di peringkat global melalui dorongan peralihan perniagaan ke arah automasi.
Ia sekaligus dapat mengurangkan kebergantungan kepada tenaga bukan warganegara.
Semasa pembentangan Belanjawan 2025, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kerajaan bercadang mewajibkan pekerja bukan warganegara untuk mencarum KWSP .
Cadangan tersebut akan dilaksanakan secara berfasa.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.