comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Pemaju dengan bank tanah luas, infrastruktur baik berupaya takluk pusat data 

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: RHB Investment Bank Bhd (RHB IB) berpendapat pemaju yang mempunyai bank tanah yang luas di lokasi yang sesuai berkemungkinan akan dapat ’menangkap’ gelombang pusat data (DC), terutamanya yang mempunyai tanah dilengkapi dengan infrastruktur dan tidak jauh dari bandar-bandar utama.

Bank pelaburan itu berkata sesetengah pemaju hartanah Malaysia mungkin berubah secara beransur-ansur kepada pemain hartanah pada tahun-tahun akan datang.

Ia berkata segmen kediaman mungkin sesak, tetapi segmen perindustrian semakin meningkat pesat, dan pemaju dengan bank tanah yang besar di Johor dan Lembah Klang, serta kunci kira-kira yang kukuh mungkin berupaya merebut peluang itu.

“Segmen hartanah perindustrian telah berkembang pesat dan ledakan DC yang berlaku kini menjadi pemangkin yang lebih besar sejak bermulanya konflik perdagangan di antara AS-China, diikuti dengan pembukaan semula ekonomi pasca COVID-19.

“Pemaju yang mereka bentuk taman perindustrian dengan betul dalam portfolio mereka berkemungkinan besar akan menikmati pertumbuhan pendapatan yang lebih baik pada masa hadapan,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

RHB IB menyatakan UEM Sunrise Bhd, Sime Darby Property Bhd, SP Setia Bhd, Mah Sing Group Bhd, EcoWorld, dan AME Elite Consortium Bhd ialah pemaju yang mungkin mendapat manfaat daripada permintaan untuk DC memandangkan lokasi, kemudahan dan infrastruktur mereka di bank tanah sedia ada.

“Berdasarkan perbualan kami dengan beberapa pemaju hartanah, permintaan untuk DC adalah sangat kuat, manakala bekalan tanah dengan ciri-ciri dan kemudahan yang sesuai adalah terhad,” katanya.

Oleh itu, ia berkata beberapa pemain DC kini meneroka kawasan-kawasan baharu yang berpotensi di Tebrau dan Ulu Tiram di Johor, disebabkan lokasinya di segi tiga strategik hab DC, bersama-sama dengan Sedenak Tech Park dan Nusajaya Tech Park di Iskandar Malaysia.

“Southville City Mah Sing, Bukit Jalil dan Cyberjaya juga membentuk segi tiga strategik hab DC di Lembah Klang,” katanya.

Ia juga menyatakan Johor berada di lokasi yang strategik disebabkan oleh akses pendaman yang rendah dan penyelarasan serta pengurusan operasi yang lebih mudah.

“Pemain-pemain DC boleh memilih sama ada untuk memanfaatkan rangkaian Singapura atau bergantung pada kabel dasar laut semasa di Malaysia untuk ketersambungan.

“Di tempat lain seperti Cyberjaya, ia adalah sebuah hab teknologi dengan infrastruktur dan ketersambungan yang baik, yang telah lama menjadi lokasi tumpuan untuk pelaburan DC,” katanya.

Oleh itu, RHB IB telah mengekalkan saranan “overweight” untuk sektor hartanah.

Ia melihat pelaburan masuk berkaitan dengan DC sebagai pemangkin baharu yang seharusnya memanfaatkan sektor itu secara langsung, terutamanya bagi pemaju yang mempunyai kunci kira-kira yang kukuh serta pendedahan kepada projek-projek hartanah industri.

“Bergantung kepada model perniagaan, pemaju mungkin akan menikmati penilaian semula aset bersih yang disemak semula daripada penjualan tanah secara langsung, atau mencipta aliran pendapatan baharu yang berulang jika mereka melabur dalam kemudahan DC,” katanya.

Ia juga berpendapat pemaju yang mempunyai pendedahan kepada segmen perindustrian harus mencatat pertumbuhan pendapatan yang lebih baik pada masa hadapan.

BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini