comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Pembaharuan struktur dilaksana kerajaan akan tingkatkan daya saing Malaysia

KUALA LUMPUR: Pembaharuan struktur yang dilaksanakan kerajaan pada masa ini akan meningkatkan daya saing global negara sejajar dengan negara lain, kata Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Beliau berkata, negara lain juga sedang giat berusaha untuk meningkatkan potensi pertumbuhan mereka, menangani defisit fiskal dan meningkatkan kecekapan sumber.

Katanya, pembaharuan struktur sudahpun digerakkan untuk memanfaatkan peluang pertumbuhan baharu, memupuk pembangunan jangka panjang dan mengukuhkan daya tahan terhadap kejutan masa depan sambil merebut peluang yang muncul.

“Kerajaan komited untuk melaksanakan pembaharuan struktur yang bermakna, kerana ini adalah perlu untuk membina Malaysia yang lebih makmur dan inklusif.

“Dalam hal ini, pembaharuan strategik pelbagai serampang sedang dijalankan untuk menyokong usaha ini,” katanya dalam ucaptamanya pada Sasana Symposium 2024 (SS2024) anjuran Bank Negara Malaysia (BNM) di sini, hari ini.

Hadir sama, Gabenor BNM, Datuk Shaik Abdul Rasheed Abdul Ghaffour.

Amir Hamzah berkata, aliran mega yang berterusan dalam ekonomi global memberikan Malaysia prospek dan peluang baharu.

Beliau berkata, Malaysia berada pada kedudukan yang baik untuk mendapat manfaat daripada konfigurasi semula rantaian nilai global.

“Bagi memanfaatkan sepenuhnya peluang ini, kami mengutamakan dasar untuk menarik pelaburan berkualiti tinggi yang meningkatkan daya saing ekonomi dan mewujudkan pekerjaan bernilai tinggi.

“Kerajaan akan terus mempercepat dan memudahkan pelaksanaan pelan induk perindustrian bagi memastikan kedua-dua pelaburan domestik dan asing direalisasikan,” katanya.

Mengenai unjuran ekonomi bagi 2024, Amir Hamzah berkata, ekonomi Malaysia diunjurkan berkembang 4.0 hingga 5.0 peratus pada 2024, disokong oleh pemulihan eksport dan permintaan dalam negeri yang berdaya tahan.

Beliau berkata, pemulihan perdagangan akan disokong oleh kitaran naik teknologi global dan pemulihan selanjutnya dalam aktiviti pelancongan.

Katanya, perbelanjaan isi rumah akan disokong dengan menambah baik pendapatan dan pekerjaan sementara aktiviti pelaburan akan didorong oleh kemajuan selanjutnya projek pelaburan berbilang tahun oleh sektor awam dan swasta.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini