comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Pemimpin APEC gesa pergiat usaha capai pertumbuhan ekonomi inklusif 

Lokasi sidang Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) di Bangkok, Thailand. – Foto: AP

BANGKOK: Para pemimpin Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) berikrar untuk mempergiatkan lagi usaha ke arah pemulihan ekonomi yang inklusif, pasca pandemik.

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dalam satu kenyataan berkata Mesyuarat Pemimpin-Pemimpin Ekonomi Asia-Pasifik (AELM) yang melabuhkan tirainya pada Sabtu di Bangkok, Thailand berakhir dengan konsensus yang ditunggu-tunggu, Deklarasi Pemimpin-Pemimpin 2022.

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali, sebagai Wakil Khas Perdana Menteri, menerajui delegasi Malaysia ke AELM APEC ke-29 yang berlangsung dari 18-19 Nov.

MITI berkata Deklarasi itu yang mengesahkan komitmen APEC turut menegaskan komitmennya untuk terus berusaha secara kolektif ke arah meningkatkan kesihatan dan kesejahteraan rakyat di rantau Asia Pasifik, di samping meningkatkan taraf hidup mereka.

“Berlandaskan Visi Putrajaya 2040 serta Pelan Tindakan Aotearoa, para pemimpin ekonomi APEC juga menekankan kepentingan untuk mencapai objektif kemampanan APEC menerusi pendekatan yang tegas, responsif dan komprehensif,” katanya.

AELM 2022 dimulakan dengan sesi Pemukiman Para Pemimpin Ekonomi menumpukan perbincangan berhubung usaha APEC dalam mencapai pembangunan yang seimbang, mampan dan inklusif, dengan berpaksikan kepada konsep Ekonomi Bio-Circular-Green (BCG).

Mesyuarat yang bertemakan “Open. Connect. Balance.” itu dipengerusikan oleh Perdana Menteri Thailand Jeneral Prayut Chan-o-cha.

AELM, sidang kemuncak pertama kumpulan itu dalam tempoh empat tahun diadakan di Queen Sirikit National Convention Centre, di sini.

Pada 2019, Minggu Pemimpin-Pemimpin Ekonomi APEC (AELW) yang dijadualkan diadakan di Chile dibatalkan berikutan bantahan anti kerajaan di seluruh bandar di negara itu. Pada 2020, Malaysia mengadakan AELW secara maya manakala pada 2021, New Zealand turut mengadakan sidang kemuncak maya susulan penularan pandemik COVID-19.

Mohd Zuki mengulangi komitmen Malaysia dalam menangani isu perubahan iklim, yang turut merupakan salah satu keutamaan di bawah Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-19).

Beliau juga menzahirkan keyakinan bahawa Model Ekonomi BCG akan melengkapi usaha untuk menyuntik elemen Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) dalam aktiviti ekonomi, seterusnya memupuk amalan perniagaan beretika dan mampu menarik pelaburan mampan ke rantau ini.

Menurut kenyataan itu, semasa perbincangan para pemimpin berhubung perdagangan dan pelaburan mampan, Malaysia telah menekankan keperluan untuk mengukuhkan lagi peranan APEC sebagai inkubator idea dan seterusnya menyumbang kepada pemulihan ekonomi global.

“Ini adalah penting memandangkan APEC berada pada kedudukan yang strategik bukan sahaja bagi melengkapkan usaha yang sedang giat dijalankan di Pertubuhan Perdagangan Dunia, malah juga dalam meneroka dan membangunkan inisiatif khusus bagi menyokong pembangunan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PKS),” katanya.

Mohd Zuki turut mengambil bahagian dalam Dialog Tidak Rasmi Pemimpin-Pemimpin APEC, yang memberi peluang bagi Ekonomi APEC untuk bertukar-tukar pandangan mengenai penggalakan pertumbuhan ekonomi yang mampan dan inklusif, serta usaha bagi mengatasi cabaran ekonomi semasa.

Semasa sesi dialog tersebut yang turut disertai Putera Mahkota dan Perdana Menteri Arab Saudi Mohammed bin Salman bin Abdulaziz Al-Saud dan Presiden Perancis Emmanuel Macron, Mohd Zuki Ali  menekankan bahawa pembaharuan struktur dan pendigitalan adalah pemacu utama bagi mendorong pertumbuhan ekonomi yang inklusif dan seterusnya meningkatkan taraf hidup di rantau ini.

Selain Deklarasi Pemimpin-Pemimpin, para pemimpin APEC juga menyokong Matlamat Bangkok bagi Ekonomi BCG – rangka kerja komprehensif untuk menggerakkan lagi objektif kemampanan APEC.

Para pemimpin APEC akan bertemu sekali lagi di San Francisco, Amerika Syarikat tahun depan. – BERNAMA

Loading...
Terkini