comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Pemulihan ekonomi peluang baik untuk pelaburan – CEO KWSP

Ketua Eksekutif KWSP, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan

KUALA LUMPUR: Pemulihan ekonomi negara menyediakan landasan baik kepada pelaburan dan peluang yang akan menjana aktiviti ekonomi, pekerjaan, dan pergerakan insan dan barangan yang lebih pantas, demikian mengikut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Beliau menambah ketika ini adalah masa yang sesuai untuk pelabur institusi seperti KWSP untuk menggubal strategi perniagaannya untuk keteguhan jangka pendek di samping mengekalkan daya tahan dan pertumbuhan jangka panjang.

Prestasi KDNK suku ketiga 2022 Malaysia, yang meningkat sebanyak 14.2 peratus berbanding 8.9 peratus pada suku kedua, disusuli dengan lonjakan kukuh dalam pasaran buruh, seterusnya menunjukkan bahawa ekonomi asas telah pulih daripada pandemik, seperti yang dapat dilihat daripada peningkatan positif dalam FBMKLCI sejak September.

“Dari aspek pelaburan, KWSP mengekalkan daya tahan dan fokus terhadap perkara yang boleh kami kawal iaitu peruntukan aset, kos, dan strategi menyeluruh yang memberi penekanan terhadap kemapanan jangka panjang pelaburan dan pulangan, selaras dengan Alokasi Aset Strategik kami.

“Walaupun ketidaktentuan pasaran global terus menjadi kebimbangan, kami mengambil sikap berwaspada tetapi optimis dengan tidak mengabaikan petunjuk yang mencadangkan penambahbaikan kepada prospek ekonomi makro seperti kemungkinan kemuncak inflasi global dan jangkaan Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed) bahawa kenaikan kadar faedah akan mula perlahan dalam beberapa bulan akan datang,” katanya dalam satu kenyataan.

Amir Hamzah berkata, susulan keadaan pasaran pelaburan ekuiti dan pendapatan tetap yang stabil, KWSP telah mencatatkan prestasi suku ketiga yang lebih baik daripada pendapatan pelaburan kasar suku sebelumnya sebanyak RM11.14 bilion.

“Terdapat kebimbangan bahawa kadar faedah yang lebih tinggi akan mendorong kepada kemelesetan global, ditambah dengan risiko geopolitik yang berterusan dan kenaikan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan AS (The Fed).

“Walau bagaimanapun, di sebalik cabaran ini, pendekatan pelaburan KWSP yang berdisiplin, berpandukan Alokasi Aset Strategik yang mantap dan pengurusan portfolio yang aktif, membantu mengurangkan impak dan membolehkan KWSP memberikan prestasi yang stabil didorong oleh lonjakan kukuh dalam pasaran domestik,” katanya. – BH ONLINE

Loading...
Terkini