comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Pemulihan pada lewat dagangan naikkan Bursa Malaysia daripada paras terendah intra hari

Foto Hiasan

KUALA LUMPUR: Pemulihan pada lewat dagangan telah menaikkan indeks utama Bursa Malaysia daripada paras terendah intra harinya manakala keseluruhan sentimen kekal lemah menjelang cuti panjang hujung minggu.

Pada 6 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 1.75 mata kepada 1,381.26 daripada paras penutup 1,383.01 pada Khamis dengan penurunan sederhana dalam kaunter perbankan terus menyeret turun indeks.

Indeks utama dibuka tinggi naik 2.81 mata kepada 1,385.82 pagi ini yang merupakan paras tertinggi intra harinya dan kemudiannya susut ke paras terendah intra harinya pada 1,376.78 semasa sesi selepas dagangan pagi.

Keseluruhan pasaran positif dengan 568 kaunter untung dan 336 kaunter rugi, manakala 412 kaunter tidak berubah, 940 tidak diniagakan dan 27 yang lain digantung.

Jumlah dagangan meningkat kepada 3.60 bilion unit bernilai RM1.94 bilion daripada 2.94 bilion unit bernilai RM1.81 bilion pada Khamis.

Pada penutup dagangan, hanya indeks kewangan dan hartanah serta produk dan perkhidmatan pengguna mencatatkan penurunan.

Seorang penganalisis berkata peniaga mula membeli kaunter berharga rendah selepas FBM KLCI mencatatkan penurunan selama tiga hari berturut-turut. Prestasi ekuiti serantau yang positif juga membantu merangsang sentimen.

Naib presiden penyelidikan ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata indeks serantau ditutup tinggi susulan petanda positif daripada Wall Street semalaman apabila para pelabur menilai semula kemungkinan Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) akan menghentikan kenaikan kadar pada Jun.

Beliau berkata pasaran China dan Hong Kong melantun semula daripada paras terendah dalam tempoh enam bulan berikutan harapan terhadap pemulihan semula ekonomi negara itu.

“Kami merasakan jualan ekuiti tempatan ketika ini nampaknya tidak wajar kerana prestasi pendapatan suku pertama telah dijangkakan, manakala prospek ekonomi tempatan kekal positif,” kata Thong sambil menambah ini akan terus merangsang aktiviti membeli saham berharga rendah dalam pasaran domestik.

Loading...
Terkini