comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Pemulihan ringgit bergantung asas ekonomi Malaysia

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Ringgit mampu meningkat semula dan mencatatkan aliran jangka panjang lebih baik jika penumpuan dasar secara serius diberi untuk mengukuhkan asas ekonomi.

Ia berbanding mengambil langkah mengawal kadar tukaran atau melaksanakan tambatan, demikian menurut TA Securities.

Firma pembrokeran pasaran itu menyifatkan, kegagalan mengukuhkan asas ekonomi boleh membawa kepada ketidaktentuan yang lebih besar dalam ekonomi domestik dan risiko susut nilai selanjutnya bagi ringgit, inflasi yang lebih tinggi, kehilangan kelebihan daya saing dan pembayaran hutang luar negara lebih besar.

Katanya, ringgit ketika ini terkesan oleh faktor luaran seperti pengetatan monetari secara agresif oleh bank pusat Amerika Syarikat (AS), Rizab Persekutuan (Fed) dan kelembapan ekonomi China.

Walaupun masih memegang nilai asas yang besar, perdagangan yang kukuh, ekonomi bertambah baik dan harga minyak mentah yang sentiasa tinggi, ringgit terus kehilangan nilai berbanding dolar AS.

“Pengetatan dasar agresif oleh Fed tahun ini dan peningkatan perbezaan kadar faedah telah menyebabkan permintaan yang lebih kukuh terhadap dolar AS yang menyebabkan ringgit didagangkan di atas paras psikologi RM4.50 sedolar sejak 7 September 2022 menghampiri paras sejarah terendah RM4.77 satu dolar dicatatkan pada 8 Januari 1998,” katanya dalam satu nota penyelidikan.

Memandangkan keadaan semasa dan pemangkin yang terhad, TA Securities telah mengurangkan unjuran paras purata ringgit bagi 2022 kepada RM4.43 sedolar berbanding RM4.35 sedolar sebelum ini. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini