comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Penangguhan beri masa kerajaan nilai kesan pelaksanaan HVGT

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Penangguhan Cukai Barang Bernilai Tinggi (HVGT) boleh memberikan masa kepada kerajaan untuk menganalisis kesan langkah itu terhadap ekonomi, perdagangan dan pendapatan negara.

Setiausaha Agung Persatuan Akauntan Percukaian Malaysia (MATA), Dr Mohd Fairuz A Razak, berkata dengan melakukan analisis menyeluruh, kerajaan boleh membuat keputusan yang lebih baik mengenai penyesuaian struktur cukai agar lebih berkesan.

“Penangguhan HVGT dapat memberikan kerajaan ruang untuk memperkemaskan struktur cukai dan pelaksanaannya. Bagaimanapun, kesannya bergantung kepada bagaimana penangguhan ini digunakan dan langkah yang diambil selepas itu,” katanya.

HVGT tidak akan dikuat kuasa mengikut tarikh asalnya kerana Kementerian Kewangan menangguh untuk membentangkan rang undang-undang berkaitan cukai itu di Parlimen.

HVGT yang sebelum ini dikenali sebagai Cukai Barang Mewah, dijadual dibentangkan dalam sidang Parlimen yang baru sahaja berakhir kelmarin, dengan cadangan perundangan ditetapkan berkuat kuasa pada 1 Mei, sementara menunggu kelulusan.

Bagaimanapun, Dewan Rakyat hanya akan kembali bersidang dari 24 Jun hingga 18 Julai.

Mengulas lanjut, Mohd Fairuz berkata penangguhan HVGT turut membolehkan kerajaan berunding dengan pelbagai pihak berkepentingan seperti ahli perniagaan, ekonomi dan kumpulan pengguna untuk mendapatkan maklum balas mengenai kesan penangguhan ini serta cadangan untuk penambahbaikan strukturnya.

Beliau berkata, kerajaan juga boleh menggunakan masa penangguhan untuk menjalankan penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam bidang cukai untuk mencari cara yang lebih baik untuk mengumpul pendapatan tanpa memberi tekanan yang terlalu besar kepada pengguna dan perniagaan.

“Selama tempoh penangguhan, kerajaan boleh menyesuaikan struktur cukai untuk menyelaraskan dengan perubahan ekonomi. Contohnya, memperkenalkan atau meminda cukai ke atas barangan dan perkhidmatan yang berkembang dalam ekonomi digital dengan lebih meluas.

“Selain itu, masa penangguhan boleh digunakan untuk meningkatkan kesedaran awam tentang sistem cukai, termasuk cara kerjanya dan manfaatnya. Ini dapat membantu orang awam memahami pentingnya cukai dan memberi sokongan kepada perubahan struktur yang dicadangkan.

“Secara keseluruhannya, penangguhan HVGT dapat memberikan peluang kepada kerajaan untuk memperbaiki struktur cukai, tetapi langkah yang diambil selepas penangguhan adalah sangat penting,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Nubex Sdn Bhd, Mohd Faizal Mohd Nor berkata, penangguhan pelaksanaan HVGT sememangnya sudah dijangka berikutan kesukaran dalam melaksanakannya khususnya membabitkan pasaran emas.

“Terdapat beberapa faktor yang menyumbang pada kesukaran ini. Antaranya ialah definisi HVGT itu sendiri. Umum menyedari bahawa definisi akta dalam undang-undang yang telah diluluskan akan ditafsir oleh hakim dalam membuat sebarang keputusan di mahkamah. Justeru, definisi yang longgar boleh mengakibatkan kesukaran kepada kerajaan pada masa hadapan.

“Emas berkait rapat dengan tradisi dan budaya masyarakat kita tanpa mengambil kira status sosial mereka. Sehubungan itu, definisi mewah adalah subjektif kerana ia dianggap perhiasan biasa untuk wanita dan hadiah biasa dalam majlis perkahwinan.

“Sekiranya hanya faktor harga semata-mata diambil kira dalam menentukan definisi mewah, maka ia mungkin boleh dicabar pada masa hadapan kerana harga emas sering meningkat saban tahun. Justeru, saya berpendapat, definisi mewah perlu menggunakan unit pengukur yang lebih wajar, contohnya berat emas,” katanya.

Penganalisis automotif, Hezeri Samsuri, pula berkata penangguhan pelaksanaan HVGT dijangka tidak memberi kesan dominan kepada pasaran automotif yang dilihat mulai perlahan dalam segmen yang dikatakan termasuk dalam cukai berkenaan.

“Mungkin jualan kenderaan ini akan meningkat sedikit (kesan penangguhan pelaksanaan HVGT) tetapi tidak terlalu tinggi khususnya ketika musim perayaan.

“Dengan harga bahan api meningkat dan kos lain yang turut melonjak, jualan kereta dalam julat harga RM200,000 hingga RM300,000 mungkin akan terkesan jika dilaksanakan sekarang. Saya melihat ramai yang sudah mula meninjau pilihan lain termasuk menggunakan kereta yang ada sekarang,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini