comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Pengajar TVET & Tenaga mahir tempatan dipertingkat ikut keperluan syarikat terkemuka global – PM Anwar

Oleh: Amanda Lopez

KUALA LUMPUR: Kerajaan kini memberi fokus untuk mempertingkat kemahiran tenaga pekerja tempatan bagi memenuhi keperluan syarikat terkemuka global.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata antara beberapa langkah awal kerajaan adalah meminta syarikat besar ambil alih sebahagian latihan Pendidikan, Latihan Teknikal dan Vokasional Malaysia (TVET).

“Upamanya Proton ambilalih TVET sebahagiannya supaya latihannya memenuhi keperluan Proton dan Geely. Petronas ambilalih seperti dibantu Rapid, Pengerang supaya memenuhi keperluan Aramco dan syarikat-syarikat lain.”kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika ditemui media selepas merasmikan Sidang Kemuncak Tahun Pengkomersialan Malaysia 2023 (MCY Summit 2023) hari ini.

Menurut Datuk Seri Anwar, kerajaan juga telah bersetuju supaya tenaga pengajar TVET sebahagiannya diberi latihan
peningkatan kemahiran tenaga (upskilling) supaya dapat disampaikan kepada pelajar.

“Kemudian beberapa kemudahan, mesin dan peralatan diperlukan itu diberi peruntukkan tambahan kerana ia sangat penting kerana apabila Tesla, Geely dan semua syarikat terkemuka glonal ini masuk, kita perlukan tenaga yang lebih cekap.” kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sebelum itu, ketika berucap pada majlis perasmian (MCY Summit 2023) beliau berkata, Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) perlu mencari pendekatan baharu bagi menarik minat pelajar terhadap mata pelajaran Sains dan Matematik.

Datuk Seri Anwar berkata kajian terbaharu KPM mendapati minat pelajar terhadap kedua-dua mata pelajaran itu menurun.

“Harus ada pendekatan baharu seperti mendapatkan pandangan ahli Sains dan badan-badan penyelidikan untuk turun padang ke sekolah, politeknik, (institusi kemahiran) (TVET), sekolah vokasional untuk menambah minat anak-anak, bukan sahaja daripada penceritaan guru-guru tetapi penekanan terhadap kepentingan Sains, Matematik serta Teknologi.” kata Perdana Menteri.

Beliau berkata kejayaan Malaysia yang mencatat potensi pelaburan baharu perlu seiring dengan sinergi pendidikan dan latihan.

Loading...
Terkini