comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Pengambilalihan penuh UMW Holdings selesai

KUALA LUMPUR: Sime Darby Berhad mengumumkan proses pengambilalihan 100 peratus kepentingan dalam UMW Holdings Berhad (UMW) telah berjaya disempurnakan dan kini UMW merupakan anak syarikat milik penuh Sime Darby Berhad.

Ketua Pegawai Eksekutif Sime Darby Group Datuk Jeffri Salim Davidson berkata peristiwa penting itu adalah petunjuk yang jelas tentang kepercayaan pasaran terhadap hala tuju strategik kumpulan dan nilai yang akan diwujudkan dengan penyertaan UMW.

“Keutamaan kami sekarang ialah untuk menyempurnakan penyepaduan UMW ke dalam ekosistem Sime Darby yang lebih luas.

“Memanfaatkan kekuatan bersama, terutamanya dalam sektor automotif dan perindustrian, akan membolehkan kami mengukuhkan kelebihan daya saing serta meluaskan jejak domestik untuk terus
memacu pertumbuhan jangka panjang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jeffri Salim berkata pengambilalihan itu juga sejajar dengan Pelan Induk Strategi Lima Tahun Sime Darby untuk mengembangkan perniagaan industri dan permotoran merentasi pasaran utama serantau dan mengukuhkan sumbangan pendapatannya dari Malaysia.

Dengan pengambilalihan penting ini, Sime Darby Berhad memperbaharui komitmennya untuk memacu inovasi dan pertumbuhan, sambil menyumbang kepada pembangunan ekonomi Malaysia.

Sementara itu, Pengarah Urusan UMW Mustamir Mohamad berkata dengan menyertai keluarga Sime Darby sebagai salah satu unit perniagaan penting, ia jelas menandakan lembaran baharu yang menarik, membolehkannya memanfaatkan peluang-peluang baharu dan berkongsi kepakaran.

“Sambil memastikan kesinambungan perniagaan yang lancar semasa penyepaduan, kami berharap untuk berkembang lebih jauh sebagai sebahagian daripada Sime Darby, kerana kami tetap berpegang kepada komitmen kami bagi mencapai kecemerlangan untuk semua pihak berkepentingan kami,” katanya.

Sime Darby pada Ogos 2023 telah mengambil alih 61.2 peratus kepentingan dalam UMW daripada syarikat induknya, Permodalan Nasional Bhd pada harga RM3.57 bilion, diikuti dengan tawaran am mandatori untuk membeli baki kepentingan ekuiti sebanyak 38.8 peratus pada harga kira-kira RM2.27 bilion.

— BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini