comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Pengambilan untung jejas Bursa Malaysia, indeks utama di bawah paras 1,450

KUALA LUMPUR: Indeks utama Bursa Malaysia susut untuk hari kedua berturut-turut pada Jumaat selepas melepasi paras 1,450 kelmarin, diasak oleh aktiviti pengambilan untung yang merentasi pasaran.

Prestasi dagangan tempatan yang suram itu turut menggambarkan kelemahan pasaran serantau ketika pelabur menerima impak pengumuman kadar faedah oleh bank-bank pusat iaitu Bank Pusat Eropah dan Bank of Japan yang menjadi isyarat hasil mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan Amerika Syarikat dan Bank Negara Malaysia (BNM) yang dijadual pada minggu depan.

Pada 5 petang, indeks FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 6.78 mata kepada 1,447.31 berbanding 1,454.09 pada akhir dagangan semalam.

Sewaktu dibuka hari ini, indeks penanda aras itu menokok 0.45 mata pada 1,454.54 dan bergerak dalam jajaran 1,442.04 hingga 1,456.47 sepanjang sesi dagangan.

Di pasaran meluas, kaunter rugi mengatasi untung iaitu 450 berbanding 393 manakala 409 kaunter tidak berubah, 1,117 tidak diniagakan dan 83 lain digantung dagangannya.

Jumlah dagangan berkurangan kepada 2.38 bilion unit bernilai RM1.65 bilion daripada 2.53 bilion unit bernilai RM1.87 bilion, semalam.

Dalam perkembangan hari ini, Gabenor Bank of Japan, Haruhiko Kuroda bertindak mengekalkan kadar faedah negara itu atas alasan prospek pertumbuhan yang lebih perlahan.

Keputusannya itu dibuat sehari selepas Bank Pusat Eropah mengumumkan langkah menaikkan kadar faedah sebanyak 75 mata asas.

Seorang penganalisis memberitahu Bernama bahawa BNM dijangka menaikkan kadar dasar semalaman sebanyak 25 mata asas lagi.

“Pasaran terus memberi tumpuan terhadap langkah Rizab Persekutuan AS selepas ini yang berkemungkinan menaikkan kadar faedah sebanyak 75 mata asas,” katanya.

Selain itu, pihak Bank of England dijangka mengumumkan keputusan mengenai kadar faedah tersebut pada minggu depan.

Di peringkat tempatan, saham-saham wajaran tinggi Maybank, Dialog dan PPB masing-masing turun 10 sen kepada RM8.58, RM1.91 dan RM16.56.

KLK sebaliknya susut 38 sen kepada RM21.82, Public Bank turun lima sen kepada RM4.38 dan Sime Darby Plantation rugi sembilan sen kepada RM4.35.

Bagi saham aktif, Borneo Oil dan Bintai Kinden masing-masing tidak berubah pada 2.0 sen dan 9.5 sen, Top Glove naik 1.5 sen kepada 79 sen, MY E.G meningkat 2.0 sen kepada 88.5 sen dan Tanco-WC menokok setengah sen kepada 19 sen.

Di papan indeks menyaksikan Indeks FBM Emas turun 38.17 mata kepada 10,275.40, FBM 70 susut 14.59 mata kepada 12,236.57 dan Indeks FBMT berkurangan 38.74 mata kepada 10,014.85.

Indeks FBM Emas Shariah kehilangan 24.22 mata kepada 10,322.51 manakala FBM ACE naik 18.11 mata kepada 4,881.30.

Bagi sektor pula, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 93.87 mata kepada 16,386.04, Indeks Tenaga turun 4.10 mata kepada 697.57, Indeks Perladangan menguncup 76 mata kepada 6,843.05 manakala Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 0.08 mata kepada 175.45.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama naik kepada 1.6 bilion saham bernilai RM1.42 bilion daripada 1.57 bilion saham bernilai RM1.51 bilion, semalam.

Selain itu, jumlah waran turut meningkat kepada 320.41 juta unit bernilai RM58.28 juta daripada 252.22 juta unit bernilai RM47.07 juta.

Di Pasaran ACE, jumlah dagangan berkurangan kepada 458.25 juta saham bernilai RM172.45 juta daripada 722.08 juta saham bernilai RM317.14 juta sebelumnya.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang sejumlah 179.62 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama manakala produk dan perkhidmatan perindustrian (607.49 juta), pembinaan (51.57 juta), teknologi (141.08 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (68.08 juta), hartanah (154.15 juta), perladangan (17.93 juta), REIT (6.9 juta), dana tertutup (5,100), tenaga (132.35 juta), penjagaan kesihatan (175.54 juta), telekomunikasi dan media (21.40 juta), pengangkutan dan logistik (34.1 juta) selain utiliti (10.59 juta). – BERNAMA

Loading...
Terkini