comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Pengapungan harga ayam, telur bakal menaikkan inflasi

KUALA LUMPUR: Harga ayam dan telur yang bakal diapungkan pada Julai ini berpotensi menaikkan inflasi keseluruhan di Malaysia, demikian menurut penganalisis.

Maybank IBG Research dalam satu nota penyelidikan berkata, setiap kenaikan harga ayam sebanyak 10 peratus dijangka memberi kesan langsung menaikkan inflasi keseluruhan sebanyak 0.1 mata peratusan.

Ia adalah berdasarkan simulasi yang dibuat firma penyelidikan pasaran itu bagi menunjukkan kesan langsung setiap 10 peratus kenaikan harga ayam terhadap inflasi keseluruhan.

Cabang penyelidikan Maybank Investment Banking Group itu berkata, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS) baru-baru ini mengumumkan bahawa harga ayam dan telur akan diapungkan pada Julai 2023.

Ia berkata, pengapungan harga itu dilaksanakan bagi menangani kekurangan makanan domestik, justeru subsidi bersasar untuk kumpulan B40 akan disediakan.

“Walaupun tiada butiran diberikan mengenai pengapungan harga ayam dan telur, simulasi kami menunjukkan bahawa kesan langsung daripada setiap kenaikan 10 peratus dalam harga ayam pada separuh kedua 2023 akan secara langsung menaikkan inflasi keseluruhan sebanyak 0.1 mata peratusan pada 2023,” katanya.

Mengenai inflasi bagi 2023, Maybank IBG Research buat masa ini masih mengekalkan unjurannya pada 3.0 peratus.

Loading...
Terkini